KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan berbincang dengan agensi berkaitan bagi mengawal jumlah penginapan kediaman jangka masa pendek (STRA) atau menerusi platform Airbnb di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau prihatin dengan kebimbangan yang disuarakan pihak Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) berhubung perkhidmatan tempat tinggal kepada pelancong tanpa sebarang kawalan.
“Saya sudah menghubung MyBHA mengenai isu ini. Untuk makluman, Airbnb dan STRA masih belum berada di bawah bidang kuasa kita atau mana-mana agensi.
“Setakat ini, MOTAC bersama agensi terlibat seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih dalam perbincangan bagi mencari mekanisme untuk kaitkan perkhidmatan ini seperti rumah inap desa (homestay) macam dulu pernah kita buat.
“Selain itu, kita masih belum boleh buat pelaksanaan untuk perkhidmatan ini sebab kita perlu melihat macam perkhidmatan ini dilaksanakan di negara lain,” katanya pada pemberita selepas Majlis Makan Malam Antara Malasyia bersama dengan Thai Travel Agents Association (TTAA), di sini hari ini.
Tambah beliau, perbincangan bersama semua pihak terlibat perlu dilakukan kerana terdapat STRA atau Airbnb yang beroperasi di kediaman sendiri tanpa berdaftar dengan kementerian mahupun tanpa pengetahuan dari pihak berkaitan.
Dalam pada itu, Nancy mahu pendaftaran perkhidmatan ini dapat dilaksanakan seperti rumah inap desa agar mereka boleh memperoleh manfaat seperti yang pernah diberikan sebelum ini, sewaktu berdepan dengan pandemik Covid-19.
Terdahulu, Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, dianggarkan lebih 70,000 unit penginapan kediaman jangka masa pendek (STRA) di negara ini menyediakan tempat tinggal kepada pelancong tanpa sebarang kawalan,.
Ujarnya, kerajaan tidak mengenakan sebarang kawal selia terhadap Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) yang menyenaraikan perkhidmatan STRA menerusi platform masing-masing.
STRA berkenaan terdiri daripada rumah dan unit apartmen itu banyak tertumpu di bandar utama di dalam negara seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Johor Bahru dan tempat pelancongan seperti Genting Highlands, Pahang. – MalaysiaGazette