Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mampu untuk menghapuskan premis maksiat di negara ini tanpa melibatkan pencegahan dan penggempuran bersama daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Malah, masalah sosial yang meluas ketika ini akibat perbuatan keji di premis-premis tersebut tidak boleh dibendung hanya semata-mata mengharapkan tindakan pihak berkuasa kecuali selepas aktiviti itu ditularkan.

Keluhan itu disuarakan, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat, apabila memberitahu, masalah “kuasa” merupakan isu yang membelenggu NGO untuk bertindak mencegah perbuatan maksiat yang melampau-lampau ketika ini.

Katanya, bukan sahaja perlakuan maksiat tetapi ada premis yang dijadikan tempat untuk membuat perkara-perkara seperti menghina Islam sebagaimana berlaku di Crackhouse Club yang kini digantung lesen pengoperasiannya.

Menurutnya, campur tangan NGO dalam membanteras perbuatan maksiat dan penghinaan terhadap agama boleh membantu kerajaan melenyapkan terus tempat-tempat yang berupaya merosakkan akidah umat Islam khususnya golongan muda.

“Kita bukan nak menyibuk dengan tugas yang dipikul oleh pihak yang berkenaan tetapi setidak-tidaknya ia dapat mengelakkan daripada berlakunya salah guna kuasa, rasuah, payung memayung (seperti rasuah) yang dilakukan oleh pihak berkenaan.

“Macam apa yang berlaku di Crackhouse Club tu, ia telah beroperasi lama sepatutnya sebagai sebuah restoran, tapi lihat sahajalah apa yang terjadi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Masridzi mendakwa, disebabkan kurangnya ketegasan
dalam menentang maksiat dan perbuatan menghina Islam, akhirnya Allah S.W.T telah memberi pelbagai bentuk musibah di dalam negara dengan wujudnya pelbagai krisis seperti ekonomi, kesihatan dan sebagainya.

Ujarnya, tuhan telah menurunkan bala akibat kemungkaran yang ada di dalam negara dan sepatutnya semua pihak telah sedar tentang perkara ini.

“Adakah kerajaan nak kita dedah lebih 20 tempat maksiat di Lembah Klang ini, viralkan, baru mereka nak fikir penglibatan NGO, baru nak fikir bagaimana kolaborasi, macam mana nak tangani masalah itu. Inilah masalahnya sikap yang tak ambil peduli apa yang dah jadi.

“Dah tahu mereka sedar tidak boleh buat (cegah maksiat, hina Islam), mintalah bantuan NGO. Kita boleh buat kerja fisabilillah (kerana Allah).

“Ingat, bila kita biarkan maksiat dan penghinaan terhadap Islam itu berleluasa, bala Allah akan sampai pada bila-bila masa,” tegasnya.

Tambah beliau, NGO bukannya hendak mengambil peranan yang ada pada pihak yang berkuasa sebaliknya, hanya mahu membantu menyelesaikan masalah yang pihak berkuasa itu sendiri tidak mampu untuk menyelesaikannya. – MalaysiaGazette