SEPANG – Kepulangan kumpulan pertama 298 jemaah haji Malaysia ke tanahair dinanti-nantikan ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi ini disambut dalam keadaan bercampur-baur dengan perasaan gembira mahupun hiba.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati lebih 500 ahli keluarga dan saudara-mara memenuhi balai ketibaan KLIA, di sini, bagi menantikan ibu bapa mahupun adik-beradik yang pulang selepas menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menurut salah seorang jemaah haji muda, Muhammad Nazrul Salleh Tomadi, beliau bersyukur kerana diizinkan Allah untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu walaupun kesihatannya terjejas ketika berada di Tanah Suci.
“Jangan kita anggap usia muda ini tak sakit, macam saya sendiri dua kali demam, pertama sebelum nak ke padang Arafah dan kedua selepas saya pulang dari Mina.
“Cabaran itu memang banyak walaupun kita muda, cabaran itu mungkin daripada Allah untuk kita dan jemaah haji yang lain
“Untuk kita pergi melontar itu, pergi balik dalam 9 kilometer, memang jauh, penat, dengan cuaca panas, anggaran saya dalam 42 darjah celcius,” katanya ketika ditemui di balai ketibaan KLIA, di sini, hari ini.
Lebih manis lagi apabila kepulangan jemaah haji muda ini dikurniakan rezeki berganda bukan sahaja kesihatannya semakin baik, bahkan dia juga dikurniakan cahaya mata pertama.
“Saya berasa gembira dan bersyukur ke hadrat ilahi kerana pulang rezeki mencurah, dapat pergi haji dan dapat menimang cahaya mata pertama.
“Di sana (tanah suci) memang banyak kes Covid-19, jadi kita sebagai jemaah Malaysia memang pihak Tabung Haji (TH) menyuruh kita untuk ikut SOP, pergi balik ke masjid, perlu cuci tangan dengan sanitizer,” katanya.
Bagi seorang lagi jemaah, Ahmad Fahim Robani, walaupun dia dan isteri menunaikan ibadah haji ketika semua negara dalam fasa peralihan endemik, namun ibadah itu dapat ditunaikan dengan sempurna dengan bantuan TH.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah saya dan isteri selamat pergi dan pulang di bawah pengurusan TH, pengurusan haji yang cukup baik dan bagus. Selagi mana ikut apa yang ditetapkan oleh TH, Insya-Allah semuanya akan selamat.
“Perasaan risau ada, tapi kita tawakal kepada Allah dan sistem haji di sana boleh dikatakan memberi ketenangan kepada kami supaya tidak risau Covid-19 yang masih ada,” katanya.
Sementara itu, Mohd Amri Abdul Rahman pula menyifatkan ibadah haji kali ini lebih mudah berbanding sebelum Covid-19 melanda kerana jumlah jemaah haji kini berkurangan sehingga tiga juta orang.
“Oleh kerana jemaah kurang tiga juta orang, tahun ini hanya satu juta, nak lakukan ibadah itu senang sikit, orang kurang, sama ada di Mina mahupun di Arafah, tak payah nak berebut-rebut.
“Sebelum ini orang cakap kalau nak masuk bilik air kena tunggu lama, Alhamdulillah kali ini untuk kami tiada masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette