Peniaga mendakwa bekalan minyak masak paket di Pulau Pinang mencukupi namun sikap pengguna yang suka monopoli pembelian menyebabkan ia cepat kehabisan stok.

GEORGE TOWN – Peniaga kedai runcit sekitar negeri ini mendakwa bekalan minyak masak paket cepat habis disebabkan sikap pelanggan yang suka membeli melebihi had yang ditetapkan.

Peniaga turut mendakwa, mereka juga kini berdepan situasi barangan runcit tidak terjual sekiranya minyak masak paket habis terjual di kedai mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette di 10 kedai runcit serta pasar mini di daerah Timur Laut dan Barat Daya mendapati, para peniaga memperoleh bekalan minyak masak paket mengikut permintaan setiap minggu.

Bagaimanapun, barang kawalan itu laris dijual dalam tempoh yang singkat menyebabkan beberapa kawasan kehabisan stok jualan.

Singkaravel menunjukkan baki minyak masak paket di kedai runcitnya.

Menurut peniaga kedai runcit di Hilir Paya Terubong, N. Singkaravel, 52, dia menerima bekalan minyak masak 100 paket setiap minggu  namun terpaksa mengawal penjualan untuk memastikan barang kawalan itu tidak dimonopoli pembeli tertentu.

Dia mengakui berlaku pertengkaran dengan pelanggan jika menegur individu yang membeli minyak masak subsidi itu melebihi dua paket.

“Nak kata bekalan minyak masak tak sampai kepada kami (peruncit) tu tak berlaku kerana setiap minggu saya terima bekalan kecuali musim perayaan jumlah penghantaran bekalan mungkin kurang sedikit saja.

“Tapi sekarang ini yang timbul masalah adalah pembelian oleh pelanggan secara monopoli. Kita fikir logik, takkan seminggu lebih dua paket minyak digunakan untuk memasak satu isi rumah?

“Bila kita tegur orang yang sama datang beli, mereka marah dan hantar ahli keluarga mereka datang beli. Jadi macam mana bekalan minyak masak paket tidak berkurangan sekiranya orang yang sama saja beli,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Asarudeen.

Bagi peniaga pasar mini, Asarudeen Fazul Mohamed, sebanyak 27, 200 minyak masak paket di premisnya akan habis dijual dalam tempoh tiga hari sebaik dia menerima stok bekalan itu setiap hari Khamis.

“Kami letak minyak masak itu sama seperti barang lain. Jadi pelanggan masuk ambil kita tak boleh nak kawal.

“Lebih teruk sekarang apabila pelanggan tahu minyak masak paket habis, mereka tak jadi beli barangan runcit lain.

“Ini bukan saja menyebabkan kami terpaksa menanggung rugi malah menambah kerja untuk susun semula barang yang diambil mereka,” ujarnya.

Gopi mendakwa ada pelanggan datang ke kedainya semata-mata untuk mendapatkan minyak masak paket.

Sementara itu, A. Gopi, 32, berkata, dia mendapat stok minyak masak paket daripada pembekal mengikut kadar pesanan barang runcit lain.

Jelasnya, isu bekalan minyak masak paket ini tidak pernah reda sejak beberapa tahun dahulu namun kini menjadi kemuncak apabila minyak masak botol mahal sekali gus membuat ramai pengguna mencari minyak masak paket.

“Contoh saya pesan barangan runcit bernilai RM2,000 saya boleh dapat bekalan minyak masak paket 200 paket ini, sekali gus stok minyak masak sentiasa ada di kedai runcit saya.

“Kami untung lima sen saja dengan penjualan setiap satu paket minyak masak ini tetapi kena ambil juga sebab ia ibarat pelaris untuk pelanggan beli barang runcit lain.

“Ikutkan minyak masak paket ini cukup sekiranya untuk kegunaan isi rumah tetapi macam mana kami sebagai peniaga nak kawal ia daripada dibeli oleh peniaga atau bukan isi rumah?,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. salahkan kerajaan dan kementerian,,,,,Negara antara pengeluar minyak sawit DUNIA…MINYAK MASAK sepatutnya LEBIH MURAH….rakyat biasa TIDAK MAMPU BELI MINYAK DALAM BOTOL yang MAHAL termasuk peniaga kecil BERBANDING VIP2 dan MENTERI2

    RM50 skrg hanya boleh beli beras 5 kilo rm14….myak sebotol rm 29@30 Dan gula pasir rm 2,85 dan tepung…UNTUK IKAT PERUT bagi 5 ORANG sekeluarga purata 4 hari

Comments are closed.