Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu perniagaan yang ditubuhkan atas nama Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) adalah milik Penolong Bendahari Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafik Hakim Razali.

Ketua Unit Seksyen Pendaftaran Perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohammad Syafiq Hairom berkata, jenis perniagaan yang dijalankan adalah khidmat pengurusan majlis dan bentuk perniagaan adalah jenis pemilikan tunggal.

Beliau yang merupakan saksi ke-19 kes perbicaraan Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu, perniagaan itu telah didaftarkan dan mula beroperasi pada 4 Januari 2017 dan luput pada 3 Januari 2018.

“Status perniagaan itu telah luput sepenuhnya 3 Januari 2019 dan ia tidak dapat lagi diperbaharui kerana ia telah melebihi tempoh 12 bulan yang ditetapkan SSM.

“Perniagaan ini tidak mempunyai sebarang modal berbayar kerana ia bukan entiti perniagaan yang berbentuk syarikat.

“Bagi ABBE, tiada keperluan untuk perniagaan ini untuk menyerahkan penyata kewangan kepada pihak SSM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pernyataan bertulis ketika kes perbicaraan Syed Saddiq yang kini berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Antara salah satu pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Mohammad Syafiq menambah,  perniagaan ABBE telah tamat tempoh di mana sebarang aktiviti dan perjalanan peniagaan tidak boleh dijalankan.

Ujar beliau, jika ABBE menjalankan apa-apa aktiviti dan perjalanan perniagaan dalam tempoh tersebut ianya akan menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 12(1)(b) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“Seseorang yang meneruskan perjalanan sesuatu perniagaan selepas tamat tempoh dan jika disabitkan kesalahan ia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau di penjara selama tidak lebih dari 2 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette