KUALA LUMPUR – Pegawai Kewangan 1, Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Muhammad Zulhelmi Zaulkafly memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun parti itu oleh sayap pemuda, Armada.
Saksi pendakwaan ke-20 yang bertugas dengan Bersatu sejak 2017 itu berkata, beliau juga tidak mempunyai maklumat mengenai wang sebanyak itu sebelum ini.
Malah beliau juga mengakui tidak menerima permohonan dibuat daripada mana-mana pihak dalam parti untuk mengeluarkan wang RM1 juta daripada Pejabat Bendahari Bersatu.
“Bagi pengeluaran wang parti, terdapat Fasa 24 yang menyatakan pengeluaran melebihi RM500,000 perlu mendapat kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Saya juga bersetuju perlu rekod setiap pengeluaran wang agar tidak melanggar Fasal 24 bagi mengelak ketirisan kewangan, ada integriti dan ketelusan,” katanya.
Beliau memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Muhammad Zulhelmi, 30, bahawa pemegang amanah bagi akaun Armada ialah Syed Saddiq, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi yang ketika itu Penolong Setiausaha Armada dan Rafiq Hakim ketika itu Penolong Bendahari Armada.
Sebelum ini, Rafiq, 32, memberi keterangan bahawa pengeluaran wang RM1 juta atas arahan Ahli Parlimen Muar selaku Ketua Armada, tidak mengikut prosedur selain mengakui terjebak dalam perkara itu sejak awal lagi.
Rafiq berkata, pengeluaran wang daripada akaun Armada itu adalah salah kerana tiada kertas kerja dikemukakan untuk membolehkan wang itu dikeluarkan dari bank pada 6 Mac 2020.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.
Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan di mana mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette
Masak lah kau sad dick, mereput lah kau kt dlm tu del kevodohan dan sikap tamak kau