KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak menolak kemungkinan peruntukan kerajaan untuk perbelanjaan subsidi termasuk ayam dan minyak akan meningkat lebih RM77 bilion dari semasa ke semasa susulan kenaikan harga barang di pasaran.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun kerajaan perlu melihat beberapa pilihan yang ada susulan kenaikan itu berlaku dengan ketara termasuk langkah penjimatan.
“Saya fikir lebih RM77 bilion (subsidi) dan kalau ia terus meningkat oleh sebab kenaikan harga barang, bagi saya mungkin akan membebankan kerajaan.
“Mungkin kerajaan tak mampu menanggung subsidi yang meningkat dengan ketara, sebab itu perlu ada cara dilihat semula perkara itu.
“Jadi MPN masih belum buat keputusan muktamad macam mana kita nak perakuan kepada pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Menara MIDA, KL Sentral, hari ini.
Muhyiddin berkata, bagaimanapun pihaknya merasakan pemberian subsidi itu tidak wajar dikurangkan, apatah lagi mahu dihapuskan pada masa akan datang.
“Soal subsidi disentuh oleh ramai ahli ekonomi, macam mana subsidi bersasar, bukan soal mengurangkan subsidi sahaja.
“Mungkin subsidi itu perlu dikekalkan tapi untuk kumpulan-kumpulan tertentu yang berhak menerimanya.
“Kita pernah ada sesi meja bulat berkenaan perkara itu dan ada tindakan-tindakan susulan yang urusetia MPN sedang buat sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette