GAMBAR FAIL. Siti Nuramira Abdullah dibawa anggota polis untuk didakwa atas pertuduhan menghina Islam di kelab komedi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR –  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah selepas beliau dibebaskan hari ini.

Siti Nuramira ditahan penguatkuasa agensi itu selepas beliau menandatangan Borang Jamin dengan ditemani peguamnya, Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi ini.

Mengikut prosedur,  JAWI akan menahan wanita itu selama 24 jam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok untuk dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semalam, Nuramira dan teman lelakinya V Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, yang membenarkan Siti Nuramira, 26, diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin, memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Pada hari yang sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain. – MalaysiaGazette