Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menafikan memorandum persefahaman (MoU) antara Jakarta dan Putrajaya telah dibatalkan, sebaliknya ia ditangguhkan sementara waktu.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penangguhan dilakukan berikutan terdapat kekeliruan yang timbul dalam mekanisme pengambilan pekerja asing dari Indonesia.

“Isu ini telah dibincang dalam jawatankuasa bersama antara Menteri Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia pada 18 Julai.

“Mesyuarat tersebut telah bersetuju supaya perbincangan segera diadakan antara Kementerian Sumber Manusia dan KDN serta Jabatan Imigresen dan duta Republik Indonesia ke Malaysia untuk menyelesaikan permasalahan ini secara segera,” katanya menjawab sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang ingin tahu mengapa Kerajaan Malaysia gagal mematuhi syarat-syarat yang termaktub dalam MoU yang ditandatangani di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia pada 1 April yang lalu.

Ia menyebabkan kerajaan Indonesia membekukan penghantaran pekerja mereka ke Malaysia.

Dalam pada itu, Saravanan menolak dakwaan bahawa terdapat syarat dalam MoU berkenaan untuk memansuhkan sistem pengambilan pekerja asing Indonesia dalam talian (online maid system).

Beliau berkata, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk mengintegrasikan sistem sedia ada di KDN dengan sistem yang dicadangkan Indonesia.

“Tiada sebarang syarat untuk memansuhkan sistem sedia ada, apa yang dinyatakan dalam MoU itu adalah menggunakan sistem sedia ada di Indonesia untuk pengambilan pekerja asing tetapi ia tidak mensyaratkan untuk kita mansuhkan sistem sedia.

“Dalam mesyuarat semalam, kita telah adakan perbincangan dengan pihak Indonesia dan bersetuju untuk mengintegrasikan sistem yang kita ada dengan KDN, dan sistem yang dicadangan oleh Indonesia,” ujarnya.

Beliau berkata, Indonesia mencadangkan agar kedua-dua negara menggunakan One Channel System (sistem satu saluran) bagi membolehkan Malaysia dan Indonesia memantau kemasukan warga Indonesia ke negara ini.

“Mereka tidak ada maklumat maka dengan adanya satu saluran sistem daripada Indonesia mereka sempat memantau.

“Sepanjang perbincangan dengan KDN, kita telah bersetuju untuk mengintegrasikan sistem sedia ada dengan KDN dan sistem dalam talian yang dicadangkan oleh Indonesia.

“Kedua-dua negara akan menyediakan maklumat dan kita telah cadangkan apa yang telah dibincangkan antara KDN kepada Duta Indonesia. Saya yakin perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” jelas Saravanan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu, tumpuan perbincangan termasuk masalah membabitkan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) dan One Channel System (OCS) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai sebelum ini mencetuskan pertikaian.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, bahawa negara itu tidak kisah sekiranya Malaysia membuat keputu­san membatalkan MoU pengambilan pekerja dari negara itu yang dimeterai 1 Ap­ril lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast