Ahmad Bashah Md Hanipah

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk membuka ladang durian Musang King berskala besar di Gunung Inas, Baling, Kedah bertujuan untuk memulihkan kawasan tersebut yang sebelum itu merupakan lokasi pembalakan.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengesahkan pentadbirannya meluluskan pembukaan ladang durian tersebut seperti yang dicadangan oleh syarikat ECK Development Sdn Bhd.

Ahmad Bashah berkata, ECK Development Sdn Bhd memperoleh kawasan terbabit setelah membeli syarikat Aman Mega yang sebelum itu diberi kelulusan untuk menguruskan kawasan Gunung Inas di Baling oleh menteri besar sebelumnya.

“Pada masa itu proposal yang dikemukakan oleh ECK kepada saya adalah supaya kawasan berkenaan dlijadikan ladang durian Musang King pada sekala besar.

“Tujuan tidak lain adalah untuk memastikan kawasan yang sebelum ini dijalankan aktiviti pembalakan dilindungi semula dengan tanaman supaya ia kelak tidak menjadi masalah kepada kawasan sekitar.

“Kelulusan itu, tidak sama sekali untuk tujuan pembalakan yang baharu kerana aktiviti pembalakan sudah pun berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Ia merupakan kenyataan pertama beliau berhubung isu berkenaan, dua minggu selepas kejadian kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi yang meragut tiga nyawa serta menjejaskan lebih 800 penduduk pada 4 Julai lalu.

Menurut Ahmad Bashah, tumpuan kerajaan pimpinannya pada waktu itu adalah untuk memastikan supaya kawasan tersebut dibaik pulih selepas rosak akibat pembalakan.

Jelasnya, penanaman durian adalah kesinambungan daripada aktiviti yang dicadangkan oleh syarikat yang dipertanggungjawabkan setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk faktor ekonomi, alam semulajadi serta kepentingan penduduk.

“Cadangan dari ECK itu kemudiannya diangkat untuk pertimbangan kerajaan. Sebagai Menteri Besar sudah tentu saya tidak boleh mengambil keputusan semberono.

“Ia perlu melalui beberapa peringkat penelitian dan mesyuarat khas diperingkat kerajaan.

“Sebenarnya banyak cadangan lain lagi tetapi bagi kerajaan pada masa itu cadangan dari ECK tampak lebih meyakinkan,” jelas beliau.

Ahmad Bashah berkata, beliau tidak akan mempolitikkan isu tersebut dan tidak akan menunding jari kepada sesiapa.

Ini kerana beliau sangat faham siapapun yang memimpin kerajaan negeri Kedah tidak akan membiarkan kawasan pembalakan tanpa memulihkan semula.

Justeru katanya, sudah tentu menteri besar selepas beliau akan mengambil alih tanggungjawab untuk apa saja hal pentadbiran negeri termasuk isu yang berkenaan.

“Bukan sesuatu yang luar biasa untuk sesuatu kerajaan atau pimpinan negeri yang baru membatalkan atau tidak meneruskan usaha kerajaan atau pimpinan terdahulu.

“Bukan juga satu kesalahan untuk meneruskannya. Terserah kepada mereka.

“Jadi bagi saya isu pokoknya adalah kerajaan mencari jalan untuk melindungi semula kawasan yang telah dibalak,” kata Ahmad Bashah.

Ahmad Basha berharap isu tersebut tidak perlu dipolitikkan secara keterlaluan.

Semua pihak, katanya perlu berhenti menyalahkan antara satu sama lain sebaliknya meneruskan usaha pemulihan dengan mengambil tindakan segera. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast