KUALA LUMPUR – Waris Kesultanan Sulu masih belum memulakan saman ke atas Kerajaan Malaysia ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjawat jawatan Perdana Menteri.
Sebaliknya, menurut Najib, waris Kesultanan Sulu hanya menyampaikan notis ‘niat awal’ untuk proses timbang tara bertarikh 2 November 2017.
Waris Kesultanan Sulu hanya memulakan proses menyaman Malaysia selepas kerajaan bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Najib mengulas mengenai tindakan penyokong Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang membuat laporan polis terhadapnya berkaitan tuntutan tersebut.
“Yang geng PKR beramai-ramai nak buat laporan polis terhadap saya hari ini ialah berdasarkan tuntutan menyampaikan notis awal niat untuk memulakan timbang tara, bertarikh 2 November 2017, menurut Surat Ikatan (selepas ini, Notis Niat untuk Memulakan Timbang Tara) di Kedutaan Malaysia di Madrid (Sepanyol).”
“Itu cuma niat sahaja. Belum saman. Enam bulan kemudian, kerajaan dah tukar,” kata Najib.
Sementara itu Najib berkata, Dewan Rakyat seharusnya membenarkan usul untuk membahaskan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau berminat untuk mengetahui alasan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas di bawah pentadbiran Pakatan Harapan tidak menghantar peguam untuk melawan saman yang dikemukakan waris Kesultanan Sulu.
“Dengan mengambil pendirian tidak mengiktirafkan tuntutan waris Sultan Sulu tetapi boleh pula menulis surat kepada wakil sultan untuk mengiktiraf tuntutan wakil Sulu dengan mengaku kesal tidak membayar dan menawarkan bayaran tunggakan RM48,000 untuk settle case.
“Adakah benar bahawa Kabinet Kerajaan PH tak pernah tahu atau pernah lulus untuk Tommy menulis surat tersebut pada akhir tahun 2019?” tanya Najib.
Tambah beliau, adakah benar surat yang dikeluarkan oleh Tommy boleh disamakan dengan surat yang dikeluarkan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 kepada Singapura terhadap pemilikan Pulau Batu Putih.
Katanya, seperti surat Pulau Batu Putih, surat yang dikeluarkan oleh Tommy telah digunakan sebagai bahan bukti di Mahkamah Antarabangsa.
“Saya juga nak tahu pandangan orang PH sekiranya pendirian mereka adalah sama dengan Tun Dr. Mahathir, mendiang Karpal Singh dan juga penganalis undang-undang bahawa kita perlu menghentikan bayaran dan tidak mengiktiraf tuntutan wakil Sulu demi mempertahankan sepenuhnya kedaulatan ke atas Sabah,” kata Najib.
Menurut Najib, persoalan-persoalan tersebut wajar dijawab agar pemimpin PH tidak bersikap lepas tangan.
“Seolah-olah mereka tidak bersalah dan tidak dijadikan bahan untuk mempersalahkan kerajaan BN dahulu ataupun kerajaan hari ini,” kata Najib.
Rafizi sebelum ini mendakwa Najib wajar bertanggungjawab ke atas kegagalan dan kecuaiannya semasa menjadi Perdana Menteri di antara tahun 2013 hingga 2017 yang membawa kepada tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Menurut Rafizi, rakyat boleh mengambil tindakan undang-undang sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang telah cuai dalam menjalankan tugas awam.
Timbalan Presiden PKR itu dalam ucapan di Kongres PKR ke-16 Ahad lalu menyeru kepada ahli PKR dan PH untuk membuat laporan polis terhadap Najib hari ini. – MalaysiaGazette