KUALA LUMPUR – Jaguh lontar peluru para kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli optimis membawa pulang pingat emas di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia meskipun tiada sasaran diletakkan ke atas kontinjen negara.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu yang bakal beraksi dalam acara lontar peluru F20 turut menyasarkan untuk memecahkan rekod APG miliknya.
Namun, atlet berusia 32 tahun itu yang meraih gelaran juara dunia 2013 dan 2017 tetap berwaspada dengan cabaran hebat yang menantinya di Solo.
“Walaupun ada saingan yang saya rasa kuat seperti Thailand, Brunei dan Singapura tapi bagi saya mereka bagi saingan yang sihat dan saya akan cuba pecahkan rekod yang saya buat di sana.
“Saya memang dah bersedia sejak pulang dari Sukan SEA di Hanoi, Vietnam lagi, jadi saya akan cuba beri 100 peratus di Solo nanti,” katanya kepada Bernama semasa melakukan latihan di Majlis Sukan Negara di sini, semalam.
Menurut Muhammad Ziyad, beliau belum bersedia untuk memperbaharui rekod lontaran kontroversinya di Paralimpik Tokyo 2020 iaitu 17.94 meter (m) sambil mengakui masih banyak perkara perlu diusahakan untuk sekali lagi melakukan lontaran sejauh itu.
“Saya nak sasar untuk kejohanan dunia seterusnya untuk pecahkan rekod di Tokyo itu, buat masa sekarang masih mencari teknik untuk dapatkan sama seperti di Tokyo,” tambahnya.
Muhammad Ziyad memaklumkan walaupun berasa sedikit tertekan kerana menjadi sandaran emas, beliau menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat buatnya untuk membuat yang terbaik di temasya berkenaan.
Kali terakhir Muhammad Ziyad beraksi di APG ialah ketika di Kuala Lumpur apabila berjaya menggondol emas dengan melakukan lontaran sejauh 16.81m pada 2017.
Pada Sukan SEA Hanoi, beliau berjaya menghadiahkan negara pingat gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 17.20 meter (m) di Stadium Nasional My Dinh, pada Mei lepas.
Sementara itu, bagi jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly berkata, turut bakal mengejar misi menggondol emas dalam penampilan semulanya di pentas antarabangsa selepas pulih daripada kecederaan dialaminya di Paralimpik Tokyo tahun lalu.
Atlet berusia 25 tahun berasal dari Kangar, Perlis itu memaklumkan bakal mendapatkan semula momentumnya untuk beraksi dalam acara lompat jauh lelaki T20 setelah sekian lama tidak beraksi.
“Walaupun ini temasya pertama (selepas pulih) tapi saya memang nak buat terbaik untuk dapatkan emas, saya akan kejar semula momentum saya,” katanya.
Abdul Latif sebelum ini merangkul emas lompat jauh lelaki T20 di Stadium Olimpik Tokyo tahun lalu walaupun mengalami kecederaan sekali gus mengulangi pencapaian yang diraih di temasya sama di Rio 2016.
Atlet paralimpik negara akan berlepas pada 26 Julai ini bagi menyertai temasya berprestij berkenaan yang akan berlangsung dari 30 Julai hingga 6 Ogos di Solo, Indonesia.
Sebelum ini dilaporkan, Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengesahkan kira-kira 1,285 atlet dari 11 negara akan mengambil bahagian dalam 14 jenis sukan pada temasya dwitahunan itu yang kembali dianjurkan buat pertama kali selepas edisi Kuala Lumpur 2017.
APG Solo melibatkan 14 jenis sukan iaitu memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, bola sepak CP, goalball, judo, powerlifting, bola tampar duduk, renang, ping pong, bola keranjang kerusi roda dan tenis kerusi roda. – Bernama