KUALA LUMPUR – Ketika Barisan Nasional (BN) pimpinan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah mengambil alih kerajaan negeri itu – sebahagian dari Gunung Inas telah gondol dan terbiar.
Malah, penanaman durian musang king pada era pemerintahannya tahun 2016 hingga 2018 adalah keputusan untuk menyelamatkan Gunung Inas yang dikatakan mula ditarah dari 2013 lagi.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, keputusan yang dibuat Ahmad Bashah bersama pimpinan kerajaan negeri adalah mengikut garis panduan serta kebenaran agensi terlibat sehingga diarah berhenti untuk kajian semula.
Maka, kata beliau, sebahagian besar kawasan ‘gondol’ Gunung Inas kembali terbiar tanpa pemantauan.
“Pendapat saya, isu sebenar yang boleh menjadi punca bencana adalah pembalakan yang telah menggondolkan Gunung Inas, manakala ladang getah TLC, musang king atau apa juga spesies pokok untuk penanaman semula bukanlah faktor.
“Menyedihkan, sejak tragedi banjir kepala air di Gunung Inas, drama tuding menuding berlaku. Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor kononnya mahu “mencuci dosa kerajaan lama”.
“Namun, beliau tidak pula pedulikan “dosa kerajaan hari ini”. Mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menyalahkan Ahmad Bashah dan Musang King,” katanya dalam kenyataan dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Bashah tampil mengakui pentadbirannya meluluskan Ladang Durian Musang King di Gunung Inas yang sedia gondol dan menegaskan tiada pembalakan berlaku.
Demi menyelamatkan Gunung Inas, komitmen itu diambil kerana kawasan berkenaan perlu dilindungi dan dibaik pulih segera tanpa mengenepikan prosedur kelulusan kerajaan dan kesan alam sekitar, pulangan ekonomi kepada kerajaan.
Menurut Syed Mohd Johan Rizal, ada dokumen di mana zaman Mukhriz tahun 2013 hingga 2016 meneruskan aktiviti pembalakan dan kali kedua dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun 2018 hingga 2020 meneruskan Ladang Musang King.
“Tetapi, tidak pula Ahmad Bashah menuding jari kepada mantan menteri besar sebelum dan selepasnya. Inilah sikap bertanggungjawab dan kualiti pemimpin BN sebenar yang tampil dengan pengakuan keputusan bersama penjelasan.
“Selepas tragedi banjir kepala air di Gunung Jerai, Muhamad Sanusi sepatutnya mengambil iktibar dan belajar bukan menuding jari, kerana bukan hanya Gunung Inas, malah banyak lagi kawasan tinggi yang menjadi titik panas berisiko dilanda banjir puing di tanah Kedah ini.
“Selaku Menteri Besar, dia sepatutnya telah mengarahkan pemantauan ketat di lokasi berisiko berkenaan terutama aspek keselamatan dan kesan alam sekitar,” katanya.
Namun malang selepas memberi arahan untuk menghentikan penanaman, seolah beliau lepas tangan, sedangkan sebahagian besar kawasan gondol Gunung Inas kembali terbiar walaupun saranan agensi, penanaman semula mesti segera dilakukan.
Lebih menyedihkan, setelah berlaku malapetaka itu, menteri besar mula mempolitikkan tragedi Gunung Inas dengan episod mencari salah dan berlagak hero.
“Saya juga kecewa melihat Mukhriz yang tumpang sekaki cuba berlagak hero menuding jari kepada Ahmad Bashah sedangkan ketika menjadi menteri besar, beliau boleh saja hentikan ladang Musang King itu jika dilaporkan bakal membawa bencana.
“Namun dia memilih untuk meneruskan projek durian itu dan ironinya beliau tambah lagi kawasan baru untuk dijadikan ladang musang king. Mujurlah beliau tidak merintis pula ladang ketum dan hemp di Gunung Inas,” katanya.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah itu berkata, dalam laporan Kementerian Air dan Sumber Asli menjelaskan mengenai sebuah kolam takungan pecah di ladang musang king itu antara salah satu punca banjir.
“Peliknya, luas kolam pula yang menjadi pertikaian Muhamad Sanusi. Jika Ahmad Bashah mengambil inisiatif Ladang Musang King untuk selamatkan Gunung Inas yang diratah gondol, inisiatif apakah yang diambil oleh Muhamad Sanusi untuk selamatkan gunung itu dan lain-lain lokasi berisiko selepas tragedi di Gunung Jerai?
“Harapnya, Muhamad Sanusi mahu pun Mukhriz usahlah berdrama retorik lagi dengan menuding jari ke sana ke mari selepas ini. Usahlah berlagak bagai telunjuk lurus, kelengking berkait, bimbang jika tertuding parti dan diri sendiri,” ujar beliau.
Sebaliknya, beliau mahu kedua mereka mencari jalan penyelesaian yang tepat, tuntas dan holistik untuk isu berkenaan demi masa depan Kedah. – MalaysiaGazette