IPOH – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini melakar sejarah apabila meluluskan usul persendirian berkaitan Enakmen Wasiat Orang-Orang Islam Negeri Perak bagi memelihara kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.
Usul persendirian itu dibentangkan Aminuddin Zulkipli (Amanah-Behrang) dan turut dibahas oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari terakhir persidangan DUN tersebut.
“Matlamatnya untuk menyediakan mekanisme bagi menjaga kebajikan anak yatim. Ia boleh menjadi perundangan untuk jabatan lain menguruskan anak yatim yang ada di Perak.
“Kita kena ada perundangan yang jaga kebajikan anak yatim, ada bidang kuasa dalam konteks Perak dan bergantung kepada fatwa. Negeri lain sudah ada dan mula, jadi kita perlu tambah,” kata Aminuddin ketika menggulung usul tersebut selepas sesi perbahasan.
Terdahulu ketika sesi perbahasan, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) berkata jawatankuasa khas perlu melihat kelompongan yang ada untuk diperbaiki dalam undang-undang sedia ada antaranya memasukkan hibah dalam enakmen baharu nanti.
Sementara itu, Dr. Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) berkata sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan bagi memperincikan usul dicadangkan Aminuddin, yang antara lain akan meneliti masalah pertikaian kes berhubung pusaka dan sebagainya supaya dapat diselesaikan secara hitam putih (dokumen).
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam sidang media berkata pembentangan usul persendirian yang diluluskan itu membolehkan dewan memberi mandat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas mengkaji enakmen negeri untuk mewujudkan enakmen khas berkaitan wasiat.
“Ia merupakan sejarah bagi DUN Perak kerana kali pertama usul persendirian dibawa masuk dan dibahaskan lalu diluluskan,” katanya.
Sementara itu, Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir berkata jawatankuasa berkenaan perlu bagi mengkaji enakmen lama dan sedia ada supaya kekal relevan dan sesuai dengan keadaan semasa, sekali gus menjaga kepentingan mereka yang terlibat serta wasiat membabitkan anak yatim.
Persidangan DUN Perak ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.- BERNAMA