Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Kanan DAP Lim Kit Siang yakin Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan mendapat pengiktirafan sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menghabiskan mandat lima tahun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pada 2019 Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu memberikan keyakinan UEC iaitu sijil bagi lepasan sekolah Cina persendirian akan diktiraf dalam penggal PRU-14.

“UEC akan diiktiraf kerajaan sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan dapat mentadbir sepanjang mandat lima tahunnya dan bukannya ditumbangkan selepas 22 bulan mentadbir melalui konspirasi Langkah Sheraton.

“Dalam majlis pemukiman kebangsaan DAP yang diadakan pada awal tahun 2019 yang dihadiri oleh pemimpin dan ahli-ahli parlimen DAP, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ditanya mengenai perkara ini dan jawapannya memberikan keyakinan yang UEC akan diiktiraf sebelum tamatnya mandat lima tahun Pakatan Harapan,” kata Kit Siang.

Kit Siang mengungkit mengenai UEC selepas menerima senaskhah laporan sebuah portal – dari tahun 2017 yang menceritakan pengalaman seorang auditor, Farah Halijah Halim yang merupakan lulusan UEC.

Dalam laporan itu Farah berkata, sekolah rendah Cina bukanlah tempat yang menyebarkan sentimen perkauman sebaliknya menjadi tempat patriotik yang menggalakkan semangat perpaduan negara.

Menurut Kit Siang, laporan pengalaman Farah itu perlu dibaca oleh semua pihak yang cuba melanggar Perlembagaan dan menuntut supaya sekolah rendah Cina ditutup.

“Farah menamatkan pengajiannya di Universiti Cardiff, salah satu universiti yang terkemuka dunia dan Farah merupakan seorang auditor bertauliah di salah satu firma audit terulung di dunia, Ernst & Young, yang lebih dikenali sebagai EY.

“Walaupun dengan halangan yang dihadapi dengan sijil UECnya, Farah mengatakan yang dia tidak menyesali pengalamannya ini, terutamanya apabila pengalaman ini memberikannya semua kemahiran yang diperlukannya untuk berjaya dalam kehidupan.

Pengiktirafan UEC menjadi antara manifesto PH dalam PRU-14. Pada 12 Julai, Dr. Maszlee Malik yang dilantik Menteri Pendidikan ketika itu berkata, Kerajaan PH akan meneruskan rancangan untuk mengiktiraf UEC selaras manifesto parti itu.

Bagaimanapun sehingga Kerajaan PH tumbang pada Februari 2020 manifesto mengiktriraf UEC tidak berlaku.-MalaysiaGazette