KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak tidak menyalahkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan kedudukan ekonomi Malaysia yang ketinggalan berbanding negara jiran.
Mahathir mendakwa, bekas Perdana Menteri keenam itu telah menyalahkan orang lain atas situasi ekonomi yang beliau sendiri cipta.
“Ya, negara semakin ketinggalan berbanding negara jirannya. Betul. Tetapi ia disebabkan oleh rasuah yang diamalkan Kerajaan Najib. Ia disebabkan oleh sejumlah besar wang yang dipinjamnya yang kini telah hilang.
“Ia berikutan projek yang dimulakannya bukan sahaja terlalu mahal tetapi memihak kepada pihak lain. Ia berikutan projek-projek tersebut tidak memberi manfaat kepada negara.
“Dan tentunya kerana terpaksa membayar untuk melangsaikan hutang besar yang ditanggung olehnya. Tiada lagi wang untuk membangunkan negara. Apakah yang dia harapkan kerajaan yang mengalahkannya lakukan? Melepaskan semua jenayah yang dia lakukan?” tanya Mahathir.
Tambah beliau, Najib tidak boleh mengharapkan Kerajaan PH untuk membetulkan kesalahan yang telah dilakukannya.
Ini kerana Najib turut bertanggungjawab menjatuhkan Kerajaan PH dan membentuk dua kerajaan melalui pintu belakang.
“Jelas sekali perubahan pertama tidak mengikut kesukaannya. Kini beliau telah berjaya menjadikan partinya sebagai kerajaan.
“Baik tanya parti dia, tanya PM (Perdana Menteri) UMNO, kenapa kita ketinggalan sekarang parti Najib berkuasa?” sindir Mahathir.
Dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial, Mahathir mengulangi dakwaan bahawa syarikat-syarikat besar keluar Malaysia beramai-ramai kerana proses kelulusan atau kebenaran mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Sebaliknya, kata Mahathir, kebenaran hanya diberikan selepas mereka ‘memberikan wang’.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa, untuk bertemu menteri turut memerlukan rasuah dan selalunya menteri enggan bertemu pelabur.
“Dalam satu projek, satu kenyataan dibuat bahawa projek itu sudah 90% siap, sedangkan tanah pun belum pecah.
“Kereta api berkelajuan tinggi hanya menjimatkan masa jika ia menempuh jarak yang jauh. Untuk jarak pendek masa yang dijimatkan adalah tidak penting. Dan HSR sangat mahal.
“Ya, kita perlu membayar RM320 juta kepada Singapura. Itu kerana Najib membuat perjanjian bodoh itu. Meneruskannya akan lebih mengurangkan perbendaharaan, pada masa kita perlu membayar wang untuk pinjaman Najib,” kata Mahathir.
Dalam kenyataan sepanjang 15 perenggan itu, Dr. Mahathir menyamakan Najib dengan watak uskup bongkok dalam sebuah novel oleh Ken Follen kisah tentang England 1,000 tahun lalu.
Uskup tersebut telah memutarbelit fakta dan memperdayakan semua orang hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.
“Kedengarannya seperti Najib memutar belit fakta dan menuduh orang lain atas jenayah yang telah dilakukannya. Dia mencuri berbilion ringgit yang menjejaskan pembangunan Malaysia.
“Namun dia meletakkan kesalahan kepada PH yang dijatuhkannya melalui pintu belakang,” kata Dr. Mahathir.-MalaysiaGazette