Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia perlu meneruskan usahanya untuk memperkasakan semula ekonomi dan meningkatkan daya saing, kata Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD).

Pengarah Pusat Daya Saing Dunia IMD, Arturo Bris berkata, terdapat banyak ketidakpastian yang berada di luar kawalan kerajaan pusat termasuk tekanan inflasi yang berpunca dari luar negara, kenaikan harga tenaga, risiko kemelesetan bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi di peringkat global dan kesan daripada konflik Rusia-Ukraine yang telah memberi kesan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga negara lain.

”Transformasi ekonomi Malaysia sejak beberapa dekad lalu tidak mempunyai fokus yang jelas kerana ia cuba mempromosikan setiap sektor ekonomi: pembuatan dan perkhidmatan, eksport dan metalurgi, kereta dan pengeluaran cip komputer.

“Malaysia memerlukan pembaharuan dengan menumpukan perhatian terhadap kekuatannya; memastikan sistem pendidikan menyediakan pelajar untuk pekerjaan masa depan dan mencegah ‘brain drain’ (penghijrahan cendekiawan),melaksanakan transformasi digital dalam perniagaan dan memajukan dalam semua aspek pendigitalan daripada infrastruktur sehingga inovasi,” katanya.

Mengulas mengenai Kedudukan Daya Saing IMD 2022 yang menyaksikan kedudukan keseluruhan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) terbaharu turun ke-32 daripada kedudukan ke-25, Bris berkata, walaupun negara telah pulih negara lain telah melakukannya dengan lebih pantas.

”Sebagai contoh, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia meningkat 2.82 peratus yang akan menjadi tahap cemerlang pada kelazimannya tetapi ia adalah di bawah purata dalam ranking kami yang terdiri daripada 63 negara, ada yang mengalami kadar pertumbuhan melebihi 10 peratus.

”Malaysia berada pada kedudukan yang lebih rendah dalam setiap empat faktor yang kami tetapkan, mencerminkan prospek yang lebih pesimis dalam kalangan eksekutif,” kata Bris.

WCR adalah berdasarkan 333 kriteria daya saing yang dipilih hasil daripada penyelidikan komprehensif menggunakan kesusasteraan ekonomi, sumber antarabangsa, nasional dan serantau serta respons tinjauan daripada komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan ahli akademik.

Tinjauan itu menunjukkan sejauh mana tekanan inflasi memberi kesan kepada perniagaan dan seterusnya daya saing ekonomi negara.

Bris menekankan bahawa pendedahan Malaysia kepada tekanan inflasi dan gangguan global dalam rantaian bekalan adalah disebabkan oleh barangan import, justeru kualiti dasar kerajaan membezakan negara lain berkaitan COVID-19.

Menurut data perdagangan luar bulanan dikeluarkan Jabatan Perangkaan, volum import Malaysia meningkat 0.7 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan sebelumnya, ia diterajui oleh pembelian makanan negara dari negara lain.

Harga import seperti yang diukur oleh indeks nilai seunit import, meningkat 2.9 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan sebelumnya.

Indeks nilai seunit import dan volum masing-masing meningkat sebanyak 12.9 peratus dan 21.7 peratus setiap tahun.

”Gelombang Covid-19 terkini dan pelaksanaan sekatan perjalanan di beberapa negara di Asia Tenggara menjelaskan mengapa ekonomi ASEAN telah kehilangan daya saing global berbanding negara-negara Eropah.

”Apabila pintu sempadan negara dan pasaran dibuka semula, Malaysia juga akan pulih,” katanya. – BERNAMA