Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa menerusi Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat kali ke-40 itu hari ini berkata, PIRECFS akan dijadikan panduan perancangan dan pembangunan fizikal serta hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

Kata beliau, PIRECFS adalah satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ia katanya, bagi memelihara kawasan hutan di Semenanjung Malaysia agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat MPFN ke-40 pada hari ini dan bersetuju meluluskan PIRECFS sebagai panduan perancangan dan pembangunan fizikal serta hutan bagi seluruh negara.

“Pelan induk ini juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan berikutan berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan.

“Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, melalui pelaksanaan pelan induk itu, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan sepertimana dipersetujui ketika Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 akan dapat direalisasikan.

Jelas beliau, perkara itu boleh dicapai melalui komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

Katanya, MPFN ke-40 turut mengambil maklum mengenai Pelaporan Status Tanah Lapang Awam (TLA) di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Tahun 2020 yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui PLANMalaysia.

Kata beliau, kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar dengan jumlah keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan ialah 23,433 hektar.

Bagaimanapun, hanya 33 peratus atau 7,662.6 hektar daripadanya telah diwartakan, 24 peratus (5,738.4 hektar) dalam proses pewartaan, manakala selebihnya belum diwartakan.

“Mesyuarat meminta kerajaan negeri mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam di seluruh negara.

“Untuk itu, semua kerajaan megeri melalui agensi yang bertanggungjawab di bawahnya diseru untuk mengambil langkah lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN).

“Pewartaan ini akan memastikan ianya kekal terpelihara dan kekal berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat untuk tujuan rekreasi serta riadah ke arah Malaysia yang lebih berdaya huni,” katanya. – MalaysiaGazette