Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat Perodua Alza Serba Baharu yang baru dilancarnya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Syarikat Perodua disaran meneroka peluang baharu untuk menghasilkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh rakyat di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut boleh diambil menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kini sedang berusaha meningkatkan pengeluaran elektrik menggunakan sumber tenaga bersih serta penyediaan stesen pengecas kenderaan elektronik secukupnya.

Katanya, kedua-dua pihak juga boleh berkerjasama untuk memperkenalkan kadar caj yang mampu dilanggani oleh semua.

“Malah syarikat telekomunikasi negara seperti Telekom Malaysia juga dapat membuka kerjasama dengan kedua-dua pihak ini untuk menyediakan pakej data yang mampu memudahkan para pengguna untuk membuat tempahan caj kenderaan secara dalam talian.

“Kerjasama pintar seperti ini perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi kesan perubahan iklim yang melanda dunia. Malah, perjanjian seperti ini dapat menjamin kelestarian dan pembangunan negara yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perodua Alza serba Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia berbincang dengan pihak swasta untuk memastikan dasar atau inisiatif yang diperkenalkan bersesuaian dengan hala tuju negara.

Ismail Sabri baru-baru ini telah meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terletak dalam wilayah Hightech Valley untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automative Research and Training (CAART).

Tambahnya, kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Perodua yang kini merupakan syarikat automotif nasional utama negara sejak 2006 dan menjadi jenama buatan tempatan yang dipercayai dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru agar syarikat-syarikat besar negara saling bekerjasama dalam mencapai lebih banyak kejayaan untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

Kerjasama itu juga boleh melibatkan syarikat-syarikat dalam industri automotif selepas negara kini berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global seperti krisis geopolitik dan perubahan iklim.

Katanya lagi, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi menghadapi cabaran, namun usaha itu tidak boleh dilakukan secara sendirian tanpa kerjasama pihak swasta bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast