Kira-kira 60 petani di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, Melaka mendakwa kerugian lebih RM300,000 berpunca daripada pencemaran sisa air sampah yang mengalir masuk ke Sungai Batu di sini sejak hampir tiga tahun lalu.

MELAKA – Kira-kira 60 petani di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang di sini mendakwa kerugian lebih RM300,000 ekoran pencemaran sisa air sampah ke Sungai Batu di sini sejak hampir tiga tahun lalu.

Rata-rata mereka yang mengusahakan kebun sayur, tanaman kontan dan padi mendakwa, pencemaran berpunca daripada kegagalan sebuah syarikat baharu dilantik menguruskan dengan baik pusat pelupusan sisa pepejal di Sungai Udang yang terletak kira-kira 1.5 kilometer daripada tanah pertanian yang diusahakan mereka.

Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Kampung Paya Rumput Jaya, Mohammad Abd Rahman, 60, berkata, kira-kira 60 petani dan pesawah terjejas melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit sejak pencemaran berlaku hampir tiga tahun lalu.

Mohammad Abd Rahman

“Sebelum ini berlaku juga pencemaran tapi air sungai menjadi semakin busuk sejak hampir tiga tahun lalu namun sehingga kini kami gagal mencari jalan penyelesaikan termasuk mendapatkan pampasan.

“Masalahnya bila air sampah masuk ke dalam sungai bersama ulat-ulat, ia akan merosakkan kebun petani apabila air sungai berkenaan digunakan untuk keperluan pokok menyebabkan kami kerugian ratusan ribu ringgit sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga mengusahakan 30 ekar tanaman padi berkata, pencemaran itu mengakibatkannya kerugian lebih RM60,000 sejak tiga tahun lalu apabila pendapatannya merosot lebih 50 peratus.

Tee Seng Hoo

Seorang lagi pekebun, Tee Seng Hoo, 76, berkata, masalah itu bukan sahaja mengakibatkan air sungai berbau malah tambakan di pusat pelupusan sampah itu juga mengakibatkan dusunnya berkeluasan 10 ekar kini menjadi sebuah kolam besar.

“Puncanya apabila tanah pusat pelupusan itu ditambak sehingga ketinggiannya melepasi 70 kaki mengakibatkan dusun saya yang diusahakan tanaman durian, manggis, pisang, cempedak dan rambutan menjadi lembah sehingga membentuk sebuah kolam besar.

“Air hujan dari pusat itu akan mengalir ke kawasan dusun menyebabkan semua pokok-pokok ditenggelami air malah lebih 20 pokok durian saya juga mati,” katanya.

Selain itu, menurut Seng Hoo, ada juga peguam yang tampil mahu membantu kerana menganggarkan kerugian saya untuk tempoh 30 tahun akan datang akibat kejadian ini boleh mencecah RM1 juta tapi dia tidak mampu membayar kos guaman.

Mohamad Ali

Sementara itu, permasalahan itu turut mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Beliau memberi masa 14 hari kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengambil tindakan segera.

“Masalah ini sudah berlarutan sekian lama sejak hampir tiga tahun lalu dan kita tidak mahu lagi aduan masyarakat petani dibiarkan begitu sahaja.

“Jika selepas tempoh ini tiada tindakan serius diambil, pihak Japerun akan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana syarikat ini seolah-olah mereka ada ‘kuasa’ penuh terhadap isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette.