KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu bertanggungjawab kerana melantik individu yang ‘salah’ menjadi ikon permotoran negara.
Ikon yang dilantik beliau sebenarnya banyak mendatangkan masalah dan memberi impak tidak baik kepada anak muda lagi-lagi tular bahawa ikon tersebut banyak melanggar kesalahan jalan raya, kata Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Menurutnya, ramai lagi individu yang wajar diangkat sebagai ikon permotoran negara seperti Hafiz Syahrin, Syarifuddin Azman atau Damok dan belia-belia lain yang membawa imej baik buat masyarakat.
”Ini, tanpa usul dan kajian, dengan hanya melihat TikTok sahaja, terus lantik jadi ikon. Nampak sangat, buat kerja tak pakai akal.
”Akhirnya yang mendapat cemuhan kerajaan hari ini kerana ada menteri dan timbalan menteri yang tidak buat kerja dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Muhamad Muqharabbin berharap agar pada masa depan, ikon-ikon yang ingin dipilih biarlah ada badan yang dipertanggungjawabkan untuk membuat penilaian.
Meskipun tidak menyebut nama, Muhamad Muqharabbin dipercayai mengulas Ikon Permotoran, Haqiem Stopa yang didakwa bersalah memandu kereta tanpa lesen.
Salinan saman Hakim tular di media sosial.
Haqiem didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Jalan Raja Laut, kelmarin.
Susulan tindakan yang dikenakan, warga maya bukan sahaja mengecam Haqiem, sebaliknya turut mempersoalkan teladan yang ditunjukkan oleh ikon tersebut. – MalaysiaGazette