PUTRAJAYA — Sambutan Floria kini kembali lagi setelah dua tahun tidak dianjurkan akibat penularan Covid-19.
Sambutan yang bertemakan ‘Floria Hebat’ atau ‘Awesome Floria’ ini akan membuka tirainya mulai 29 Ogos hingga 4 September ini di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya dengan orkid sebagai bunga tema.
Edisi terkini festival bunga itu meraikan ulang tahun ke-12 menghimpunkan lebih 10,000 pokok orkid yang bakal dipamerkan bersama-sama lebih daripada 400,000 pokok pelbagai spesis dan bunga-bungaan.
Pada penganjuran tahun 2022 ini, lapan pereka bunga dari China, Indonesia, Jepun, Jerman, Korea, New Zealand, Singapura, dan Thailand diundang menyertai festival tersebut.
Hadir ke majlis Pra-Pelancaran Sambutan Ke-12 ‘Floria Hebat’, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Putrajaya bersedia, Kuala Lumpur pun bersedia untuk menjemput tetamu datang ke Pesta Floria”
“Pesta bunga yang akan diadakan ini bertaraf antarabangsa, dah masuk dalam kategori antara pelancongan yang terkemuka di negara ini” kata Shahidan ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Harga tiket ditetapkan RM15 warga Malaysia, manakala bukan warganegara ditetapkan sehingga RM100 mengikut lapisan umur.
Beliau turut menyasarkan 500,000 pengunjung ke Floria kerana tahu ramai yang meminati bunga-bungaan.
Antara tarikan utama Floria Diraja tahun ini adalah Taman Keluarga Malaysia, Taman Koboi, Taman Instagrammable, Hiasan Dinding Orkid, Terowong Oncidium dan Clock Meadow.
Turut menjadi tarikan utama adalah Taman ‘Glow in the Dark’, Taman Bonsai dan Suiseki.
Laman Astaka DiRaja juga kini kembali dengan wajah baru iaitu Floral Sky Walk.
Floria DiRaja Putraja 2022 akan dibuka kepada lawatan umum mulai 29 Ogos hingga 4 September 2022 dari seawal jam 9 pagi hingga 10 malam. -MalaysiaGazette