SEPANG – Seorang penghantar makanan yang telah memuat naik video jelik menghina agama Islam serta Nabi Mohammad SAW didenda sebanyak RM50,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd Nor’muzil Mohd Razalli, 39, dijatuhkan hukuman oleh Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dilakukan pada 16 Julai lalu.
Tertuduh seorang duda tinggal di Pangsapuri Putra Indah, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan mengaku bersalah memuat naik hantaran video jelik yang menghina agam Islam, Nabi Muhamad SAW serta Allah selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Rizki pada pukul 9.40 pagi tadi.
Semasa hukumannya dibacakan, hakim juga telah mengarahkan Mohd Nor’muzil untuk menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda yang dikenakan mahkamah.
Dalam keputusan sama, Ahmad Rizki juga menasihatkan tertuduh agar menginsafi terhadap kesalahan yang dilakukannya.
“Sebagai seorang yang beragama Islam, kamu perlu bertaubat atas kesalahan yang telah dilakukan,” katanya.
Terdahulu Nor’muzil yang memakai baju T hijau dan berseluar jeans dalam keadaan tangan bergari di bawa pasukan Polis Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah ke mahkamah pagi tadi.
Mengikut fakta kes, tertuduh pada 16 Julai lalu melalui perkhidmatan aplikasi YouTube dengan menggunakan nama profil YouTube (M) di pautan http://www.youtube.com/shorts/skrTsnxvIYs secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya bertajuk Malaysia Kes hina Islam? Melayuu bodoh agama buta Islam Babi…Try ngan aku… jawab soalan aku..” dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 16 Julai 2022 jam lebih kurang pukul 11.15 malam di hadapan Shell, Cyberjaya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahannya boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling.
Dalam pada itu tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam dibenarkan merayu sebelum hukuman dijatuhkan terhadapnya.
Sebelum hukumannya dibacakan, tertuduh yang duda anak seorang merayu mahkamah agar hukumannya diringankan kerana ada tanggungan.
Tertuduh juga memberitahu mahkamah bahan kandungan yang dimuatnaik tersebut hanyalah untuk dirinya sahaja.
“Sebenarnya video itu di upload untuk diri saya sendiri. Saya mengaku bersalah,” katanya.
Bagaimanapun, Nor Azizah dalam hujahnya meminta mahkamah supaya hukuman berat dijatuhkan terhadap tertuduh kerana perbuatannya mengundang kemarahan orang ramai.
Beliau juga menjelaskan sekiranya diabaikan dengan hukuman ringan ia boleh mengugat keamanan negara.
“Yang Arif, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh memuat naik video jelik menghina agama Islam dan bangsa serta nabi dengan perkataan kesat babi adalah kesalahan serius dan hukuman serius perlu dikenakan ke atas tertuduh.
“Hukuman berat penting supaya dia tidak mengulangi perbuatan sama selain itu ia juga menjadi pengajaran dan menghalang pihak lain melakukan perkara sama di masa depan.
“Masyarakat di luar juga mengambil serius berkenaan isu ini dan lebih 20 laporan polis diterima di seluruh negara,” katanya lagi.
Namun, tertuduh telah dipenjara enam bulan selepas didapati gagal membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan ringkas petang tadi mengesahkan bahawa tertuduh tidak dapat membayar denda RM50,000 yang diperintahkan mahkamah dan dia telah dibawa ke penjara Kajang untuk hukuman penjara enam bulan.
Pada 17 Julai lalu, tertuduh ditahan polis di Batu 8, Taman Bukit Kuchai Puchong oleh polis selepas menerima laporan polis di Balai Cyberjaya daripada pengadu yang mengesan penularan video berdurasi 36 saat itu.
Kemudian suspek telah direman selama empat hari bermula 18 hingga 21 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membantu siasatan dan bagi melengkapkan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan mahkamah. – MalaysiaGazette
Penghantar makanan lepak dalam jail tunggu penghantar makanan kepadanya setiap hari tiga kali mentekedarah free jer selepas tak bayar harga makanan 6 bulan sejumlah $50K.