KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa berharap semua parti politik tidak mempolitikkan projek Rangkaian Mudah Alih Generasi ke-5 (5G) kerana ia sudah menjadi agenda negara.
Ketuanya, Seri Wani Sabtu berkata, sebaliknya projek 5G ini perlu disokong sepenuhnya kerana matlamat akhir adalah untuk menyelesaikan masalah utama rakyat dalam merapatkan jurang digital khususnya di luar bandar.
“Saya khuatir jika parti-parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang terus mempersoal dan menimbulkan persepsi negatif, projek 5G ini akan dilengahkan dan dilambatkan.
“Maka, hentikanlah polemik 5G yang memang membuang masa kita. Negara jiran seperti Singapura dan Indonesia semakin maju dengan pendigitalan ekonomi menerusi projek 5G mereka.
“Takkan lah kita mahu terus melihat Malaysia ditinggalkan jauh hanya kerana nafsu politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga berharap Digital Nasional Berhad (DNB) dan syarikat telekomunikasi akan segera memuktamadkan strategi pelaksanaan 5G ini tanpa berlengah.
“Kita semua mendokong penuh inisiatif 5G di bawah teraju DNB demi maslahat Keluarga Malaysia. Masalah kelembapan internet sekalipun di kawasan urban ketika ini harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
“Projek 5G ini akan membawa banyak manfaat kepada rakyat khususnya dalam bidang ekonomi digital. Rakyat boleh berniaga atas talian dengan mudah dan pantas dengan adanya akses 5G ini,” katanya. – MalaysiaGazette
5G satu rompakan oleh syärikat teknoloĝi cina dan barat .Kita kena bayar bukan nya free bingai…