Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum akan mengadakan mesyuarat pertamanya, Isnin depan.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membayangkan mesyuarat itu mungkin membincangkan kelulusan pendaftaran produk berasaskan kanabis (ganja).

“Bagi kanabis (ganja) mungkin ada kemungkinan besar kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran bagi produk yang ada kaitan cannabidiol (CBD) menjelang akhir tahun ini dan dipertimbangkan pendaftaran dia dan penggunaan untuk penyakit-penyakit tertentu pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2022 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy yang mengelas mengenai kelulusan penggunaan ketum di negara ini berkata, ia berdasarkan kepada bukti bagi tujuan perubatan.

“Selepas jawatankuasa ini mendapat pandangan daripada pakar-pakar, samada ketum ataupun kanabis boleh digunakan secara selamat bagi tujuan tertentu untuk perubatan maka kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk sedemikian,” katanya.

Minggu lalu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan membenarkan penggunaan beberapa produk perubatan mengandungi kanabis atau ganja dikenali sebagai CBD pada tahun depan.

Keputusan itu, kata Khairy, dibuat setelah kajian awal kementerian itu dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati terdapat bukti penggunaannya membantu pesakit yang mengalami penyakit tertentu.

Bagaimanapun, tambah beliau, produk CBD nanti hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan dan diperoleh melalui preskripsi doktor di klinik serta hospital sekali gus tidak boleh dibeli dari mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan pindaan RUU Racun (Pindaan) 2022 dengan meminda 16 Seksyen.

Pindaan ini bagi memperkukuhkan kawalan ke atas racun dan bahan psikotropik serta memberi fleksibiliti dalam pengendalian racun untuk tujuan yang sah di samping mengemas kini Akta 366 agar selaras dengan keperluan semasa.

“Akta 366 dipinda antara lain dengan memperuntukkan kesalahan berkaitan pembelian racun daripada pemborong yang bukan pemborong berlesen dan dengan memperkenalkan seksyen baharu 26A ke dalam Akta 366 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengeluarkan arahan bagi pelaksanaan seksyen 26 di bawah Akta 366 yang mana keingkaran untuk mematuhi arahan tersebut merupakan suatu kesalahan,” kata Khairy.

Kali terakhir akta ini dipinda pada 1988 melalui Akta Racun (Pindaan) 1988 [Akta A695] yang antara lain memperuntukkan kesalahan berkaitan bahan psikotropik.

Dalam pada itu, Khairy berkata, peruntukan berkaitan kompaun kesalahan juga dimasukkan serta kuasa-kuasa penguatkuasaan turut diperkemaskan agar kawalan dan penguatkuasaan ke atas racun dan bahan psikotropik dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Malah peruntukan penalti juga ditingkatkan bagi memastikan pesalah menerima hukuman yang setimpal dan seterusnya mencegah kesalahan dilakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast