KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengukuhkan lagi pelaburan dalam pasaran hartanah luar negara dengan memuktamadkan rundingan pembelian bangunan yang menempatkan Kementerian Pengangkutan United Kingdom (UK) di kota raya London pada 12 Julai lepas.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pembelian bangunan berstatus pegangan bebas itu merupakan tambahan kepada senarai pelaburan TH yang mempunyai portfolio berkaitan di UK sejak 2012.
“Pemilikan hartanah ini memberi pulangan jangka panjang yang baik kepada TH memandangkan kontrak sewaan yang panjang manakala kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa selain kenaikan kadar sewaan setiap tahun dan memiliki nilai pasaran yang stabil.
“Ini juga selaras dengan objektif pelaburan TH untuk mempelbagaikan jenis pelaburan dari segi aset dan lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Amrin, bangunan pejabat kerajaan setinggi enam tingkat dan berkeluasan 179,869 meter persegi itu dikenali sebagai Great Minster, 33 Horseferry Road, Victoria.
Malah, ia terletak di lokasi strategik di daerah perniagaan terbesar di West End London iaitu hab komersial yang berkembang pesat pada ini serta di masa akan datang.
Victoria menempatkan banyak pejabat kerajaan dan sektor awam kerana berdekatan dengan bangunan Parlimen selain akses mudah semua pengangkutan awam utama termasuk stesen keretapi awam bawah tanah Pimlico, Westminster dan Victoria, serta laluan-laluan utama lain.
“London masih merupakan hab kewangan yang menarik banyak peluang perniagaan semasa dan untuk jangka masa panjang… oleh itu, ia amat baik untuk pasaran hartanah,” katanya.
Bagaimanapun, pada masa sama, Amrin menegaskan bahawa TH sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang pelaburan hartanah bagi memastikannya dapat memberi pulangan segera untuk menampung kos haji tahunan dan agihan keuntungan tahunan selain pulangan jangka panjang yang stabil dan selamat bagi kesinambungan TH serta para pendeposit.
Menurutnya, TH memperuntukkan kira-kira 11 peratus daripada RM88 bilion dana miliknya untuk pelaburan dalam sektor hartanah di dalam negara serta asing.
“TH kini giat meninjau peluang untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor hartanah luar negara bagi mempelbagaikan portfolio pelaburan yang dikenal pasti sebagai langkah terbaik untuk memperoleh pulangan kompetitif serta konsisten bagi 8.5 juta para pendeposit,” kata beliau. – Bernama