Mangsa berusia 4 tahun dipaksa telan nasi sehingga termuntah oleh suspek pasangan ibu bapa angkat dalam kejadian baru-baru ini di Beranang Kajang.ihsan foto Netizen Tiktok

KAJANG – Seorang kanak-kanak yang diserahkan oleh ibu bapanya warga Indonesia di bawah jagaan sepasang suami isteri dengan harapan mendapat penjagaan yang baik berakhir dengan tragedi.

Kanak-kanak hiperaktif itu didakwa menjadi mangsa dera pasangan berkenaan.

Mangsa yang berusia empat tahun dikatakan dipukul menggunakan penyidai, kayu penyapu serta pemetik api.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada 18 Julai lalu di sebuah taman perumahan di Beranang dekat sini yang mana pengadu seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun telah membuat laporan polis bahawa mangsa merupakan anak angkat kepada pasangan suami isteri itu telah didera.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk menelannya sehingga termuntah serta kanak-kanak ini dikatakan hiperaktif.

“Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia anggaran empat tahun dan merupakan anak kepada warganegara Indonesia, yang mana kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada memiliki apa-apa dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa berusia 4 tahun menangis setelah dipukul dengan penyidai kain oleh suspek pasangan ibu bapa angkat dalam kejadian baru-baru ini di Beranang Kajang.Ihsan foto Netizen Tiktok Instagram

Tambah Mohd Zaid, mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak bulan April lalu kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.

Ujarnya, mangsa dikatakan telah dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penyidai kain, penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api.

“Selepas menerima laporan kejadian dan bertindak atas aduan itu, Polis Kajang telah bertindak menyelamatkan mangsa kanak-kanak malang itu sebelum berjaya membuat tangkapan ke atas seorang wanita tempatan dan pasangannya lelaki warganegara Singapura di sebuah rumah di Beranang.

“Pasangan suami isteri yang ditangkap polis itu menjalankan perniagaan sendiri membabitkan produk kosmetik dan berusia lingkungan 28 hingga 30-an telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan doktor sebelum disahkan mangsa telah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat penderaan oleh pasangan yang menjaganya,” tegasnya.

Menurut Mohd Zaid, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Justeru, polis masih dalam proses mengesan dan mendapatkan ibu bapa mangsa dera itu untuk membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette