Pengasas Kelab Komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai membayar ikat jamin atas tuduhan menghina islam dan memperlekeh melayu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemilik bersama Kelab Komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan memuat naik video bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain berkaitan dengan isu perkauman di Mahkamah Jenayah Siber di sini hari ini.

Beliau membuat mengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Rizal selaku tertuduh pada 4 Julai lalu pukul 11.23 malam melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil ‘Rizal van Geyzel’ membuat penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan kedua pula beliau didakwa secara sedar melalui akaun Instagramnya ‘rizalvangeyzel’ memuat naik video yang sama sifatnya pada 6 Julai lalu.

Manakala pertuduhan ketiga menyatakan Rizal pada 5 Julai lalu melalui perkhidmatan aplikasi Tiktok dengan menggunakan akaun ‘rizalvangeyzel®’ secara sedar memuat naik penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya.

Ketiga-tuga pertuduhan berkenaan di buat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Sekiranya didapati bersalah, Rizal boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Hakim, Nor Hasniah Ab Razak kemudian menetapkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Beliau turut diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga perbicaraan kes selesai dan 19 Ogos kelak sebagai tarikh sebutan semula kes.

Rizal juga diarahkan mahkamah supaya tidak membuat sebarang hantaran baharu di media sosial.

Pasukan pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Haslinda Noor Che Seman. Rizal pula diwakili oleh peguamnya, Ramkarpal Singh.

Sebagai rekod, beliau menjadi tumpuan selepas video kontroversi yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

Kemudian 14 Julai lalu, beliau ditahan selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi dan kemudian direman selama sehari.- MalaysiaGazette