Ban Hong (kiri) bertanyakan sesuatu mengenai projek Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang, Melaka yang kembali 'bernafas' selepas mendapat kontraktor baharu untuk meneruskan projek berkenaan yang dijangka siap Disember 2023

MELAKA – Selepas hampir empat tahun terbengkalai, Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Klebang di sini akhirnya kembali ‘bernafas’ selepas mendapat kontraktor baharu dan dijangka siap Disember tahun depan.

Itu jaminan diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong setelah kontraktor dilantik bagi projek yang sepatutnya siap pada Disember 2018 itu memulakan pemulihan sejak Jun lalu.

Menurutnya, ia sekaligus memberi kelegaan kepada 255 pemohon penyewa di dua blok PPR 14 tingkat itu yang sudah sekian lama mengharapkan projek mula dibina pada 2016 itu siap seperti dijadualkan.

“Japerun Klebang akan memantau bagi memastikan kontraktor pertama dilantik bagi pemulihan projek yang sudah 90 siap ini dapat melaksakan kerja-kerja mengikut jadual ditetapkan sehingga ianya siap pada Disember 2023.

“Kita tidak mahu, projek yang dinanti-nantikan bakal penyewa khususnya daripada golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendiami rumah pertama mereka ini kecewa lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di PPR Klebang di sini hari ini.

LIm Ban Hong

Mengulas lanjut, Ban Hong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, projek bernilai RM42 juta ketika pembinaannya pada 2016 itu turut melibatkan peruntukan tambahan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Bagaimanapun, tambahan peruntukan itu saya masih menanti angka terkini daripada Lembaga Perumahan dan KPKT berapakah nilai terakhir yang sebenar.

“Senarai pemohonan penyewa juga sedang dikemaskini dan saya difahamkan sesi temuduga sudah pun dibuat dan senarai terkini itu dibentangkan ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ianya diumumkan,” katanya.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang, Melaka yang mempunyai 255 unit rumah tiga bilik yang terbengkalai sejak hampir empat tahun lalu dijangka siap Disember 2023.

MalaysiaGazette pada Mac lalu melaporkan keluhan beberapa bakal penyewa PPR berkenana yang mengharapkan projek terbengkalai itu dapat diteruskan sekaligus merealisasikan impian mereka untuk mendiami rumah yang lebih selesa.

KPKT ketika itu juga sudah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM16 juta daripada Kementerian Kewangan untuk meneruskan projek berkenaan. – Malaysia Gazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast