KUALA SELANGOR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa terharu apabila nama baginda terpilih untuk digunakan sebagai nama baharu bagi hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam, di sini.
Titah Baginda, lebih mengharukan apabila hospital yang dicadangkan UiTM itu terletak di Selangor.
“Sebenarnya setelah beta berasa terharu apabila diminta untuk menamakan hospital ini dengan nama beta.
“Beta pun serba salah nak terima ataupun tidak, kerana (hospital) ini di Selangor. Beta terpaksa mendapat perkenan Sultan Selangor.
“Sebenarnya beta mengharapkan Sultan Selangor tak kata tak boleh, tapi baginda begitu ikhlas dan setuju sebulat suaranya bila nama beta dicadangkan.
“Beta pun rasa terharu dengan perkenan Sultan Selangor,” titah baginda di Hospital UiTM Puncak Alam, di sini, hari ini.
Terdahulu baginda bersama Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan mencemar duli merasmikan Hospital Al-Sultan Abdullah.
Turut sama mencemar duli, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin.
Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa terharu apabila masjid di Pahang sendiri masih tidak menggunakan nama Sultan Pahang itu.
“Ini antara nama-nama yang dinamakan bawah nama saya, pertama sekali masjid di Melaka, di Pahang tiada lagi masjid Al-Sultan Abdullah (berseloroh).
“Sama juga hospital di Pahang, tiada lagi Al-Sultan Abdullah. Walaupun hospital ini jauh di mata, ia dekat di hati beta,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette