KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 orang yang berhimpun di hadapan pusat membeli belah Sogo, di sini,mendesak kerajaan menurunkan harga barang dihalang polis daripada berarak ke Dataran Merdeka.
Pada perhimpunan yang bermula jam 2 petang itu, beberapa pemimpin PKR, DAP dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Amanah Negara (Amanah) hadir menyatakan sokongan mereka kepada perhimpunan itu.
Antara Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid, Young Syefura Othman selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, ADUN Puteri Wangsa Amirah Aishah Abdul Razak dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim.
Himpunan dikenali Himpunan #Turun itu dipercayai dianjurkan Gabungan Mahasiswa dan Pemuda Amanah bagi menyatakan bantahan terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.
Peserta perhimpunan itu menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri, menuntut bantuan yang bermaruah diberikan kepada semua lapisan masyarakat dan menuntut kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada serta tidak mengurangkan subsidi lain membabitkan industri makanan.
Mereka turut menuntut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan dan makanan kafeteria dan vendor di dalam universiti kerana berlaku peningkatan harga makanan yang mendadak.
Peserta perhimpunan itu juga menuntut kerajaan menyelesaikan masalah jaminan makanan.
Mereka membawa plakad dan bendera hitam sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan.
Pada jam 2.30 petang, para peserta perhimpunan itu mula bergerak ke Dataran Merdeka.
Menyedari situasi itu, pasukan polis bertindak membentuk rantai manusia bagi menyekat kemaraan mereka.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Amanah Kebangsaan, Abbas Azmi mendesak kerajaan agar segera mencari penyelesaian kepada segala tuntutan yang dikemukakan peserta himpunan terbabit.
“Sekiranya kerajaan tak serius dan gagal menunaikan tuntutan kami, kita tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan lebih besar selepas ini,” katanya.
Justeru Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Aliff Naif berkata, bantahan yang ditunjukkan oleh kumpulan mahasiswa dan mahasiswi yang turut turun ke jalan hari ini adalah bukan hanya untuk sara hidup anak muda itu tetapi juga seluruh rakyat di negara ini.
Perhimpunan yang diadakan tengah-tengah Jalan Tunku Abdul Rahman itu berlangsung selama 30 minit lagi sebelum mereka bersurai pada jam 3 petang. – MalaysiaGazette