Barang yang dirampas daripada dua suspek Rohinya yang giat melakukan aktiviti jenayah pecah rumah di taman Dagang akhirnya ditumpaskan.Ihsan IPD Ampang.

KUALA LUMPUR – Dua warga Myanmar ditahan polis kerana disyaki memecah masuk sebuah rumah dan menyamun di Taman Dagang, Ampang, dekat sini, Selasa lalu.

Kedua-dua suspek percayai etnik Rohingya yang memegang status kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu mengumpil jeriji pintu belakang rumah ketika penghuninya tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada jam 3 petang Selasa lalu pengadu yang bekerja sebagai pegawai bank telah dimaklumkan kenalan lama bahawa jeriji pintu belakang rumahnya telah dirosakkan dan dalam keadaan terbuka.

“Terkejut dengan maklumat itu, pengadu bergegas ke rumahnya untuk tindakan lanjut sebelum pemeriksaan di dalam rumah mendapati barang di dalam rumahnya berada dalam keadaan berselerak seolah telah digeledah seseorang.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah pengadu menyedari barang-barang seperti, beberapa unit penghawa dingin, sebuah ketuhar gelombang, sebuah dapur serta empat set jeriji tingkap hilang disyaki dipecah masuk dan disamun penjenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas laporan polis yang diterima daripada pengadu, sepasukan anggota polis telah melakukan tangkapan ke atas suspek yang berusia 22 dan 26 tahun serta dan rampasan di kawasan Ampang pada jam 4 petang Khamis lalu.

Dua warga Myanmar yang ditahan

“Suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua pula mempunyai lima rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan beberapa barang kes antaranya beberapa buah komponen pemampat pendingin hawa dan beberapa alatan yang digunakan oleh suspek untuk memecah masuk rumah.

Tambah beliau, semua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 28 Julai ini untuk membantu siasatan.

“Modus operandi kedua-dua suspek adalah memantau dan mengumpul maklumat mengenai mangsa dan waktu pekerjaan sebelum menantikan masa yang sesuai penghuni meninggalkan rumah dan menyamun dengan mengumpil grill tingkap bilik.

“Bagaimanapun, namun Pihak polis telah berjaya menyelesaikan lima kes di daerah Ampang Jaya,” katanya.

Menurut Mohamad Farouk, kes sedang disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan pecah rumah jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh empat belas tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette