Orang ramai beratur untuk mendaftar masuk ke Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Tun Razak World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 24 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 400 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang bermula semalam sehingga 27 Julai ini.

Ketua Pegawai Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Azirruan Arifin berkata, pihaknya menyasarkan 1,000 pencari kerja akan mendapat pekerjaan di ekspo yang dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung di ekspo yang menjadi karnival pekerjaan terbesar julung kali diadakan pada tahun ini yang mana majlis pelancarannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

Golongan Belia yang hadir menuggu giliran untuk mencari peluang pekerjaan sempena pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Tun Razak World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 JULAI 2022.

“Sebelum ini, kami sudah menjelajah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan ekspo di sini bermatlamat menjadi platform menghimpunkan pelbagai peluang pekerjaan di seluruh negara oleh majikan di bawah satu bumbung.

“Terdapat lebih 30,000 kekosongan jawatan daripada pelbagai kategori dan sektor pekerjaan termasuk profesional dan pengurusan untuk diisi oleh pencari kerja di ekspo kerjaya ini,” katanya kepada media di WTC hari ini.

Azirruan berkata, Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia itu melibatkan kira-kira 1,000 majikan termasuk sektor ekonomi gig, keusahawanan dan penyedia latihan yang menyediakan program penempatan dan latihan.

Azirruan Arifin

Beliau berkata, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti kaunseling kerjaya, bantuan penyediaan resume, pertandingan e-sukan, debat institut pengajian tinggi, ceramah kebolehpasaran pekerjaan serta pameran oleh agensi-agensi kerajaan seperti Tekun Nasional, Malaysia Digital Economy Corporation dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Menurutnya, sempena ekspo itu juga, satu program eksplorasi kerjaya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dianjurkan khas untuk pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah, bagi membantu mereka mengenal pasti bidang kerjaya dan potensi pekerjaan bersesuaian minat mereka.

Seorang pencari kerja sedang ditemuduga di Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Tun Razak World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 JULAI 2022.

“Pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma dan diskaun istimewa bagi saman Polis Diraja Malaysia.

“Pada masa sama, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi aktiviti cabutan bertuah seperti motosikal, komputer riba, telefon pintar, televisyen dan lain-lain.

Sementara itu, Perkeso menyarankan orang ramai membuat prapendaftaran dan sebarang maklumat lanjut berkaitan ekspo tersebut boleh diakses melalui pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair atau hubungi Careline Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau 03-80915300 atau e-mel ke [email protected]. – MalaysiaGazette