Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita motosikal yang telah disita atas pelbagai kesalahan disekatan jalan raya dalam Ops Lejang Fasa 1 ketika di Tol Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2022.

BENTONG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperketatkan tindakan terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, ia susulan arahan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT), berikutan kemalangan melibatkan penunggang motosikal, baru-baru ini.

Tindakan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kita telah mendapat arahan daripada MOT untuk meneliti semula dan memperketatkan tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan pengguna jalan raya, contohnya, mat rempit sekarang jadi isu hangat.

“Jadi JPJ kena teliti dan akan maklumkan dalam masa terdekat, apakah tindakan yang  akan diambil bersama-sama MOT untuk kita pastikan supaya penunggang motosikal tidak melakukan kesalahan sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui di Plaza Tol Bentong.

Terdahulu, Aedy Fadly memantau perjalanan Ops Lejang Fasa 1 yang diadakan di kawasan tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru orang awam berkongsi maklumat dengan JPJ tentang lokasi-lokasi panas yang dijadikan pilihan kumpulan penunggang motosikal beraksi secara haram.

Pada Ahad lalu, seramai empat penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang dipercayai berpunca daripada aktiviti lumba haram.

Sementara itu, Aedy Fadly amaran kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi yang tidak mempunyai lesen kelas B (penuh).

Ini kerana, terdapat penunggang kenderaan berkenaan yang hanya menggunakan lesen L.

“Kebanyakan mereka  guna lesen L sahaja dia tidak buat lesen B penuh bawa motosikal berkuasa tinggi. Bila ditahan kata ada lesen L tapi tidak buat pun lesen kelas B (penuh),” katanya. – MalaysiaGazette