KUALA LUMPUR – Nekad menaiki bas dari Pengerang, Johor malam tadi ke Kuala Lumpur demi mencari peluang kerjaya lebih baik di Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia ternyata berbaloi buat Ahmad Hazid Danial Yusaini.
Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, dia sempat berehat seketika di rumah kawannya pagi ini sebelum datang ke ekspo yang dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sejak semalam selama lima hari.
Namun lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak menyangka dia akan terus diterima di sebuah syarikat swasta terkemuka sejurus selesai ditemuduga.
“Saya mengetahui tentang ekpso ini di media sosial dan saya rasa ini peluang untuk meningkatkan karier lagi terutama dalam bidang kejuruteraan.
“Ketika ini saya bekerja di sebuah syarikat swasta di Pengerang sejak setahun lalu. Saya rasa bertuah dan gembira kerana tidak menyangka keputusan temuduga sangat cepat untuk diambil bekerja di syarikat baharu,” kata anak sulung daripada enam beradik itu ketika ditemui di WTC hari ini.
Ahmad Hazid Danial turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan penganjur kerana menganjurkan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang memberi peluang kepada masyarakat untuk mencari kerja atau menaiktaraf karier mereka.
Dia juga memuji pihak penganjur yang berjalan lancar dan mudah untuk orang ramai memohon pekerjaan kerana dibantu oleh kakitangan yang mesra dan ramah.
“Ekspo ini sangat besar dan banyak sangat syarikat di mana difahamkan lebih 1,000 syarikat dan ini peluang terbaik terutama untuk lepasan institut pengajian tinggi mencari pekerjaan.
“Ekspo juga menghimpunkan pelbagai peluang pekerjaan di seluruh negara oleh majikan di bawah satu bumbung,” katanya.
Bagi lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU), Sharmilan Swaninathan, 30, pula berkata, dia datang ke ekspo ini untuk mencari peluang pekerjaan yang lain daripada kerjaya sebelum ini.
Sharmilanyang datang dari Bangi memberitahu, sebelum ini dia bekerja sebagai cef makanan barat bersama kapal persiaran mewah.
Namun gara-gara kemalangan yang berlaku di tempat kerjanya itu, dia hilang sebahagian tangan kanannya.
“Saya kini belajar di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi sejak awal bulan ini.
“Saya dibawa oleh PLPP untuk mencari peluang pekerjaan namun bukan lagi sebagai seorang cef,” katanya yang menjadi OKU sejak 2016.
Sharmilan memuji usaha penganjur yang tidak meminggirkan golongan OKU pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia itu.
Sementara itu, bagi seorang OKU bisu, Muhammad Ridzuan Naina, 33, gembira mendapat pekerjaan baharu selepas bekerja di bahagian pentadbiran selama sembilan tahun.
Dia yang tinggal di Semenyih, juga datang WTC untuk mencari peluang baharu bagi meningkatkan kemahiran diri.
“Saya gembira kerana mendapat pekerjaan baharu di bahagian pentadbiran di syarikat keselamatan.
“Saya dapat tahu penganjuran ini menerusi Facebook dan pada mulanya berharap dapat pekerjaan baharu, selain menambah pengalaman diri ketika ditemuduga,” katanya.
Sementara itu, Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia menawarkan lebih 30,000 kekosongan jawatan daripada pelbagai kategori dan sektor pekerjaan termasuk profesional dan pengurusan untuk diisi oleh pencari kerja di ekspo kerjaya ini,
Ia melibatkan kira-kira 1,000 majikan termasuk sektor ekonomi gig, keusahawanan dan penyedia latihan yang menyediakan program penempatan dan latihan,” katanya.
Antara majikan yang akan menyertai ekspo tersebut termasuk Petronas, ExxonMobil, UMW Holdings, MBSB Bank dan RHB Bank.
Selain itu terdapat aktiviti kaunseling kerjaya, bantuan penyediaan resume, pertandingan e-sukan, debat institut pengajian tinggi, ceramah kebolehpasaran pekerjaan serta pameran oleh agensi-agensi kerajaan seperti Tekun Nasional, Malaysia Digital Economy Corporation dan Agensi Antidadah Kebangsaan.
Sempena ekspo itu juga, satu program eksplorasi kerjaya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dianjurkan khas untuk pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah, bagi membantu mereka mengenal pasti bidang kerjaya dan potensi pekerjaan bersesuaian minat mereka.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma dan diskaun istimewa bagi saman di bawah Polis Diraja Malaysia.
Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi aktiviti cabutan bertuah seperti motosikal, komputer riba, telefon pintar, televisyen dan lain-lain. – MalaysiaGazette