Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) berterima kasih dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lebih memahami kos penyediaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang perlu ditanggung oleh mereka berbanding Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri.

Kadar sedia ada RMT adalah RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan dan ia sudah tidak relevan berikutan peningkatan harga barangan mentah di pasaran.

Setiausahanya, Siti Normah Md Desa berkata, isu cadangan kenaikan kos RMT pernah dikemukakan oleh persatuan itu sebanyak dua kali pada tahun 2020 dan terakhir pada Oktober 2021 dengan menyerahkan sendiri memorandum kepada Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin.

Malangnya, sehingga hari ini tiada respons daripada KPM.

Siti Normah mengakui kenaikan harga barangaan mentah di pasaran memang mencabar pengusaha-pengusaha kantin di seluruh negara untuk menyediakan hidangan seperti yang ditetapkan oleh KKM.

Katanya, KKM menyediakan cadangan 20 menu kepada pengusaha kantin yang berasaskan kepada nasi, mee, bihun dan bijirin. selain buah-buahan.

Setiap hidangan ada berat yang perlu dipenuhi.

Namun, kebanyakan sekolah meminta pengusaha kantin menyediakan hidangan nasi, ayam, sayur, buah dan air kerana hidangan itu lebih mengenyangkan.

Siti Norma Md Desa

Walaupun ada sekolah tidak kisah jika murid-murid diberi air masak tetapi majoriti besar sekolah mahu pelajar-pelajar RMT diberi air susu atau minuman berperisa.

“Pada asasnya pengusaha kantin tidak ada masalah untuk mematuhi arahan KKM dan sekolah tetapi masalahnya kos harga barang mentah sekarang naik mencanak-canak.

“Contohnya, harga ayam sahaja RM9.40 sekilo, seekor pun dah RM20 lebih. Kalau potong 20 bermakna RM1 sekeping (ayam). Baki RM1.50 tu la untuk nasi, sayur, buah dan air susu.

“Buah epal pun paling murah dalam 80 sen atau RM1 sebiji, potong dua bermakna 50 sen. Baki RM1 tu kami terpaksa bahagi lagi untuk nasi, sayur dan air. Kadang-kadang tak tahu nak jimat macam mana lagi dah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Disebabkan kenaikan kos itu, katanya, ada pengusaha kantin hanya untung 10 sen atau 20 sen dari RMT dan ada yang tak dapat langsung.

Sama ada pengusaha kantin di bandar atau di luar bandar, masalah mereka sama sahaja apatah lagi ditambah dengan kos buruh yang tinggi.

Kenaikan harga barang turut menyebabkan ada pengusaha kantin yang terpaksa ‘melanggar’ menu yang ditetapkan oleh KKM.

Ini kerana, selain berdepan kenaikan harga barang, pengusaha kantin juga sukar mencari tenaga kerja.

Siti Normah berkata, kekurangan tenaga kerja ini menyebabkan gaji tukang masak kantin sahaja RM1,500 sebulan dan pekerja-pekerja lain pula RM50 hingga RM70 sehari.

Tambahnya, walaupun ada pihak yang menyatakan pengusaha kantin boleh meraih untung daripada pelajar-pelajar lain namun realitinya bukan mudah.

Realitinya, pengusaha kantin juga terpaksa bersaing dengan penjaja-penjaga di tepi sekolah yang menawarkan makanan kegemaran anak-anak walaupun tidak memenuhi spesifikasi KKM.

Selain itu, ada juga sesetengah sekolah turut menjual makanan dan minuman di koperasi dan kedai buku.

“Walaupun kami ni peniaga di kantin sekolah, kami juga bersaing dengan pihak lain. Kena ambil kira juga perkara ini.

“Di sekolah, berapa mahal pun harga yang boleh dijual kerana kami juga tertakluk kepada sekolah,” katanya.

Justeru, katanya,  anggota-anggota PPKSM amat berharap KPM akan memberi pertimbangan pandangan Khairy untuk kenaikan kadar RMT kepada RM4 di Semenanjung dan RM5 di Sabah, Sarawak serta Labuan demi kualiti pemakanan kepada pelajar-pelajar.

Dengan kenaikan itu, Siti Normah percaya para pelajar berkenaan akan mendapat hidangan berkualiti.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat memperkenalkan satu mekanisme yang membolehkan pengusaha-pengusaha kantin sekolah diberi subsidi agar dapat membeli barang keperluan pada harga lebih murah.

Antara barangan yang diperlukan subsidi termasuk beras, minyak masak, telur dan gula.

Dengan subsidi ini, pengusaha-pengusaha kantin sekolah dapat membeli barangan pada harga munasabah, sekali gus dapat menyediakan makanan kepada pelajar-pelajar pada harga yang rendah.

“Perkara ini sebenarnya akan dikemukakan kepada KPM jika mereka mahu bertemu dengan kami,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast