hakim Zaid Ibrahim Najib Razak SRC International
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tiada makna diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) kalau rakyat tidak dapat memilih kerajaan yang stabil, kuat dan mampu mentadbir, kata mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, jika kerajaan tidak kuat dan stabil sebagaimana Barisan Nasional (BN) sebelum ini, keadaan akan berpanjangan sama seperti sekarang, selepas BN tumbang pada PRU 14 tahun 2018.

“Kestabilan politik Malaysia hari ini telah menjadi isu. Rakyat selalu lihat keadaan tidak begitu memuaskan dengan hampir dua tahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berupaya memerintah.

“Dalam tempoh itu juga PH tidak melakukan apa-apa yang dijanjikan walaupun memperkenalkan manifesto terbesar dan tertebal dalam sejarah PRU Malaysia, iaitu banyaknya janji kepada rakyat, tetapi selepas dua tahun, jatuh.

“Selepas itu PH ‘harakiri’ awal disebabkan mereka sendiri, mengalahkan diri mereka dalam fenomena politik mainan Tun Dr. Mahathir Mohamad, DAP dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim),” katanya dalam temubual eksklusif OWHMG.

Zaid yang juga pengamal undang-undang turut mengulas krisis dalaman dalam Perikatan Nasional (PN) yang menggantikan kerajaan PH menerusi ‘Langkah Sheraton’.

Katanya, dalam PN juga wujud ‘mainan politik’ kumpulan tertentu menyebabkan bukan sahaja kerajaan tidak stabil, gabungan parti itu juga dilihat rapuh.

Apa yang berlaku hari ini, kumpulan A menyokong B, manakala B berpihak kepada C dan C mahu berganding dengan D sehingga masing-masing tidak ada masa untuk pedulikan masalah rakyat.

Sebab itu, tegas beliau, PRU 15 ini penting dalam konteks rakyat bukan sahaja kena buat pilihan tepat, tetapi perlu bermuafakat untuk memilih parti yang boleh memberi kemenangan besar supaya ada kerajaan stabil untuk memerintah negara.

“Dalam konteks UMNO dan BN pula, saya lihat kemenangan di Johor dan Melaka itu sebagai satu petanda bahawa BN masih tidak dibenci oleh rakyat, walaupun tidak semestinya ia disayangi.

“Dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, peratusan keluar mengundi tidak ramai, maka keputusan memihak kepada BN, tetapi kita tidak boleh selesa, tidak boleh kata rakyat sudah memihak kepada kita.

“Bagaimanapun, pada masa sama kita boleh gunakan kemenangan BN itu sebagai momentum yang cukup untuk kita gerakkan – kalau kita tak ada masalah lainlah – cukup untuk menang PRU 15,” katanya.

Mengenai kemelut dalam UMNO selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak berdepan kes rasuah di mahkamah, Zaid berkata, beliau melihat apabila berlaku senario itu sebahagian daripada pemimpinnya masing-masing mengambil kesempatan untuk menunjukkan mereka lebih baik, konon tidak terlibat dengan rasuah dan sebagainya.

Dengan itu ujar beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin parti Bersatu dan dilantik sebagai perdana menteri mengambil kesempatan melantik kumpulan yang asalnya memihak kepada Ahmad Zahid dan Najib dalam kabinetnya.

“Akhirnya mereka yang dikatakan kabinet kluster ini mula menentang kepimpinan UMNO sekarang, sebab itu UMNO dilihat berpecah.

“Cabaran utama PRU 15 ini ialah perpecahan yang disebabkan Naib Presiden terkanan yang juga perdana menteri sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun dipilih sebagai posterboy oleh UMNO, tetapi juga adalah pilihan Muhyiddin.

“Jadi, timbul persoalan daripada orang ramai akan kesetiaan Ismail Sabri itu kepada UMNO atau siapa?,” ujarnya.

Ditanya, adakah PRU 15 perlu diadakan awal, beliau memulang paku buah keras dengan menyatakan, apakah UMNO sudah bersedia?

“Jika tanya kepada saya, saya kata tidak, selagi tidak selesai soal kepimpinan ini, dan ada orang kata, baik kita buat pemilihan parti dulu, saya kata itu soal UMNOlah, tapi pada saya kalau buat pemilihan pun, Ahmad Zahid dan Najib menang juga.

“Kalau nak buat pemilihan dulu, buatlah. Saya rasa dia orang ni menang,” katanya.

Ditanya adakah gesaan supaya diadakan PRU awal bagi membolehkan Ahmad Zahid dan Najib terlepas daripada kes yang dihadapinya di mahkamah, Zaid yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menegaskan, tidak adil dijadikan itu alasan untuk tidak mengadakan PRU awal.

Ini kerana, kes kedua pemimpin itu sudah dijadualkan di mahkamah dan sesiapa pun tidak tahu bila ianya berakhir.

“Soal kluster mahkamah hendak masuk jel atau apa, itu soal mahkamahlah. Parti (UMNO) kena buat keputusan atas parti.

“Mereka yang tidak mahu PRU mungkin disebabkan kerana hendak kekalkan jawatan dalam Kabinet kerana mereka tahu mereka dapat jawatan dulu pun dengan pakatan politik.

“Jadi mereka hendaklah PRU sampai habis (penggal), mereka takut berdepan dengan rakyat. Kalau kita lihat susah nak selesai masalah PRU ini kerana dalam Kabinet itu ada parti A yang akan lawan dengan parti B dan lawan parti C, semuanya dalam kabinet ini,” katanya sinis. – MalaysiaGazette