KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 syarikat sudah dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak masak paket.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, bagaimanapun kerajaan tiada indeks ketirisan minyak masak paket dan penyeludupan minyak bersubsidi itu ke negara jiran.

“Peranan GLC (syarikat milik kerajaan) menjadi pembungkus kepada minyak paket ini kita cuba lihat cara bagaimana mereka ini boleh menyumbang kepada masalah ketirisan ke luar negara,”
katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Rosol berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus meningkatkan penguatkuasaan dan intipan serta melaksanakan sistem audit pada syarikat-syarikat yang telah diberi kebenaran untuk membungkus minyak masak paket.

“Kebocoran tersebut disebabkan antaranya dikesan daripada syarikat pembungkusan kepada luar negara dan ada juga pemborong daripada luar negara.

“Dengan sistem audit yang kita buat ini, kita akan dapat lihat di mana berlaku kebocoran tersebut dan ianya akan dapat diatasi dalam masa terdekat,” jawab Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu.

Dalam pada itu, Rosol memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM382 juta untuk minyak masak paket satu hingga tiga kilogram sehingga Jun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast