The Sungai Kandis State Assemblyman, Mohd Zawawi Ahmad Mughni. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 28 JULY 2021. imam Al-Islahiah Mosque Daniel Iskandar Mohd Nasir teenager bathed corpse
Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

SHAH ALAM – Perbicaraan di Mahkamah Syariah pada umumnya diadakan secara terbuka, kata Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Bagaimanapun, bagi kes berkaitan kerahsiaan akan dibicarakan melalui kaedah yang sedang dibangunkan oleh Mahkamah Syariah termasuk secara teknologi komunikasi jarak jauh.

Menurutnya, pembangunan kaedah itu mengambil kira pengalaman pelaksanaan prosiding melalui teknologi komunikasi jarak jauh yang telah dan sedang dilaksanakan di Mahkamah Sivil.

“Tatacara pelaksanaan berkaitan permohonan atau arahan sesuatu prosiding yang dijalankan melalui kaedah itu akan dijelaskan oleh Mahkamah Syariah.

“Berdasarkan draf yang sedang dibangunkan, arahan pelaksanaan bagi sesuatu prosiding boleh dibuat berdasarkan usul oleh Hakim Syarie atau pihak mahkamah akan membuat arahan berkenaan usul tersebut mengikut keadaan yang sesuai,” katanya pada sidang DUN Selangor, di sini, petang ini.

Menurut Mohd Zawawi, kaedah teknologi komunikasi jarak jauh diperkenalkan selepas negara berdepan dengan isu wabak Coronavirus iaitu Covid-19 sejak 2020 hingga kini.

Katanya, rentetan daripada wabak itu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) telah menghadapi kekangan dalam menjalankan prosiding mahkamah secara fizikal.

“Penularan wabak ini juga menyebabkan prosiding kes di JAKESS tertangguh dan secara tidak langsung menyebabkan tertunggak.

“JAKESS telah mengambil inisiaif menjalankan prosiding secara dalam talian pada 17 April 2020 bagi mengatasi isu penangguhan kes terutama ketika pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, terdapat ‘lakuna’ dalam peruntukan undang-undang sedia ada berhubung dengan kuasa Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding melalui teknologi jarak jauh,” ujar beliau.

Kata beliau, pada masa ini Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 tidak memperuntukkan secara khusus berhubung kuasa Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding termasuk perbicaraan, sebutan, pengurusan kes, pentadbiran wakalah dan afidavit melalui teknologi jarak jauh.

Oleh itu, kata Mohd Zawawi, JAKESS mencadangkan pindaan dibuat kepada undang-undang sedia ada bagi mewujudkan peruntukan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding kes secara teknologi komunikasi jarak jauh. – MalaysiaGazette