KUALA LUMPUR – Perdana Menteri kecewa dengan tindakan segelintir majikan yang menawarkan gaji tidak setimpal dengan kelayakan warga tempatan.
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berdasarkan statistik MYFutureJobs sehingga Julai tahun ini, kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah dalam lingkungan gaji antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.
“Kerajaan kini giat membangunkan talent pool yang berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi namun saya sedikit kecewa kerana gaji ditawar majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja dilakukan oleh anak-anak tempatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Sehubungan itu, Ismail Sabri mengingatkan majikan supaya mematuhi pelaksanaan gaji minimum bermula 1 Mei lalu.
“Sehubungan itu, saya meminta supaya pihak majikan mengambil serius mengenai perkara ini kerana pekerja merupakan tunjang utama dalam mana-mana organisasi; di mana mereka boleh make or break sesuatu perniagaan,” tambahnya.
Beliau turut menggesa agar Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengadakan rundingan dengan majikan dan wakil-wakil pekerja bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah berkenaan.
Tegasnya lagi, platform tripartite Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru bagi mencapai kata sepakat demi kesejahteraan semua Keluarga Malaysia.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan membuat keputusan melanjutkan program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) sehingga Disember ini.
Lanjutan itu menumpukan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas seperti golongan Orang Kelainan Upaya, wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja sektor pelancongan dan bekas banduan.- MalaysiaGazette