JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh suaminya di rumah mereka di Taman Daya, di sini, pada pertengahan bulan ini.

Margaret Law, 36 tahun bersama-sama rakan lelakinya, Fam Mee Fat, 53, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Lee Ming How, 44, di No 03-14, Blok 11, Jalan Nipah, Taman Daya pada pukul 2 petang, 14 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad dan Nur Aqiilah Ahmad Rafaei manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

Pada prosiding yang sama, kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.

Margaret didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan setelah air kencingnya diuji di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 1.30 petang, 15 Julai lalu.

Mee Fatt yang juga seorang buruh pula didakwa melakukan perkara sama memasukkan methamphetamine ke dalam badan di tempat sama, pada pukul 12.01 tengah malam, 16 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya mengaku salah atas pertuduhan itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau enam bulan penjara ke atas setiap tertuduh.

Mereka berdua turut diperintahkan menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Margaret yang mempunyai tiga anak sambil menangis memohon hukuman ringan dikenakan kerana tidak mampu membayar denda.

Mee Fatt juga merayu hukuman denda yang ringan kerana dia merupakan bapa tunggal kepada seorang anak.

Sharifah Natasha bagaimanapun memohon hukuman setimpal buat kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran buat mereka.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan, Ming How, ditemukan mati dalam keadaan terbaring di kediaman keluarganya, selepas dipercayai dipukul isteri beliau.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu terdapat kesan ikatan di kaki, pukul serta tikaman di tubuh mangsa lelaki itu.

Beliau turut memaklumkan polis menemui dadah jenis syabu dan peralatan penagihan di rumah mangsa.

Margaret dan Mee Fatt ditahan polis pada 15 Julai lalu sebelum kedua-duanya ditahan reman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast