KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa RM120,000 dimasukkan ke akaun peribadi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 lalu.
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Hidayah Kamarudin bagaimanapun berkata, wang itu dimasukkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik Syed Saddiq sebanyak RM100,000 pada 16 dan 19 Jun 2018.
Beliau berkata, wang ABBE itu hasil penjualan cenderahati Armada, kemeja-T dan sumbangan dan majlis makan malam untuk kutipan dana kempen PRU14.
“Rafiq Hakim Razali (saksi pendakwaan ke-13) telah memindahkan wang RM120,000 daripada akaun ABBE ke akaun peribadi Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq.
“YB pula telah menggunakan harta secara tidak jujur dengan mengarahkan Rafiq supaya memindahkan wang itu ke akaun peribadinya yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid di sini hari ini.
Nurul Hidayah yang merupakan saksi ke-28 berkata, Rafiq yang ketika itu selaku Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melakukan empat transaksi dengan setiap satu sebanyak RM30,000 pada 8, 11,12 dan 21 Mei 2018.
Beliau berkata tidak tahu selepas ditanya oleh peguam Gobind Singh Deo bahawa Syed Saddiq telah mengemukakan penyata perbelanjaan sebanyak RM171,675 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama-sama resit asal.
Peguam itu berkata, ia merupakan antara perkara yang dilakukan oleh mana-mana calon dalam PRU untuk mengemukakan setiap perbelanjaan sepanjang kempen berlangsung kepada SPR.
Bagaimanapun jelas Nurul Hidayah, berdasarkan rakaman percakapan keterangan awal dari Rafik oleh pegawai lain, individu bernama Amsyar yang menguruskan perbelanjaan tersebut dan beliau tiada keperluan menyiasatnya.
Perbicaraan bersambung 3 Ogos depan.
Syed Saddiq, 29, ketika ini berdepan pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq yang juga bekas menteri didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – MalaysiaGazette