Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera di Hotel Priemera, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Aspirasi Kampung Sejahtera dijangka dapat melonjak pembangunan kawasan luar bandar dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat kampung khususnya aspek ekonomi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia diperkenalkan untuk membantu negara mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar.

Beliau berkata, ia susulan kebanyakan kampung masih belum berjaya dalam aspek kebersihan, keceriaan, penjagaan alam sekitar, kepimpinan unggul, inovasi serta penerimaan elemen sains dan teknologi.

“Malah paling ketara pelbagai program peningkatan taraf hidup masyarakat kampung juga masih belum mampu meningkatkan tahap ekonomi penduduk kepada satu tahap yang dapat dibanggakan.

“Sebahagian besar penduduk luar bandar masih berada di bawah tahap kemiskinan dan bergantung kepada bantuan-bantuan kerajaan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera di Hotel Priemera, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2022.

Turut hadir Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ramlan Harun.

Tambahnya, pelaksanaan Aspirasi Kampung Sejahtera akan melibatkan pembangunan luar bandar yang berdaya tahan, berinisiatif, berdikari, berilmu dan memiliki disiplin kerja tinggi dalam kalangan komuniti ke arah kesejahteraan kampung.

“Sebanyak sembilan kriteria itu termasuk Infrastruktur, Ekonomi Berimpak Tinggi, Modal Insan Berdaya Maju, Kesihatan, Kebersihan dan Keceriaan, Keagamaan dan Kerohanian, Keselamatan, Kepimpinan dan Pentadbiran serta Budaya Inovasi,” jelasnya.

Menurutnya, menerusi Aspirasi Kampung Sejahtera juga, stigma kampung sebagai tidak maju, kurang menarik dan pelbagai persepsi negatif mampu diatasi termasuk menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Kampung-kampung yang telah mencapai tahap Kampung Sejahtera akan berupaya membuka pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Peluang ekonomi yang wujud bukan hanya akan mengurangkan kadar penghijrahan ke bandar-bandar, malah akan dapat menarik penduduk kampung berhijrah balik ke kampung masing-masing,” katanya.

Dalam majlis sama, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) untuk mengenal pasti kampung yang berpotensi diketengahkan dan bersesuaian dengan konteks Aspirasi Kampung Sejahtera.

“Pertandingan ini terbuka kepada dua kategori iaitu Kampung Tradisional dan Rumah Panjang di bawah pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan satu kategori lagi adalah Kampung Orang Asli dibawah Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA),” katanya.

Tambahnya, pertandingan itu dibuka selama enam bulan bermula April hingga Oktober ini.

“Proses penilaian akan mula dilaksanakan pada pertengahan Ogos di mana kampung yang terpilih sebagai pemenang akan diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera,” katanya.

Setakat ini katanya, sebanyak 126 pencalonan kampung telah diterima dari dua kategori iaitu 112 buah Kampung Tradisional dan Rumah Panjang yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri, manakala 14 pencalonan bagi Kampung Orang Asli dikemukakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Lima aspek dinilai iaitu Tadbir Urus Berkesan, Inovasi dan Aspirasi, Ekonomi Berdaya Saing, Modal Insan, Kesihatan dan Persekitaran serta Prasarana dan Kemudahan Masyarakat.

“Proses transformasi kepada Kampung Sejahtera ini akan dilaksanakan secara berfasa mengikut kategori dan topografi kampung berkenaan yang melibatkan komitmen, kolaborasi serta koordinasi pelbagai pihak secara berterusan dalam jangka masa panjang.

“Ini termasuk kerjasama strategik dengan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, kerajaan negeri, NGO, syarikat korporat dan pihak berkepentingan,” katanya.

Terdahulu Mahdzir turut mempengerusikan Mesyuarat  Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan EXCO Kerajaan Negeri Pembangunan Luar Bandar (MEXCLUB) Kali Ke-54.

Mesyuarat membincangkan isu berkaitan pelaksanaan projek infrastruktur luar bandar dan program pengukuhan keselamatan makanan negara di bawah KPLB.

Susulan mesyuarat itu juga, Mahdzir mengumumkan peruntukan khas RM500 ribu bagi setiap EXCO bagi pelaksanaan projek pembangunan di kawasan DUN masing-masing. – MalaysiaGazette