KUALA LUMPUR – Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) , Amir Abd Hadi akui potongan gaji menteri langsung tidak memberi kesan inflasi kepada negara.
Namun tegasnya, tindakan yang dituntut parti itu untuk memberi kesedaran kepada orang atasan terhadap kesusahan rakyat susulan kenaikan harga barangan ketika ini.
“Potongan gaji menteri mungkin tidak akan memberi kesan kepada inflasi negara tetapi memberi mereka pengajaran bagaimana sukarnya rakyat hidup dengan harga barang yang tinggi ketika ini.
“Kalau lihat harga barang sekarang sangat tinggi sampaikan nak beli makanan dan pampers untuk anak pun berkira. Mereka tidak faham sebab duduk dalam bilik berhawa dingin dan gaji tinggi puluhan ribu. Mereka tidak rasa kesusahan dengan elauan yang banyak.
“Sebab itu kita cadang, kerajaan potong gaji menteri supaya mereka tahu bagaimana kehidupan orang di bawah ini. Mereka tidak berusaha datang dengan solusi daripada permasalahan sekarang,” katanya pada pemberita.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri yang dicadang beberapa pihak, tidak akan menyelesaikan masalah inflasi yang membelenggu negara dan dunia ketika ini.
Tegas beliau, kadar potongan gaji dan elaun anggota Kabinet tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu inflasi dan kenaikan harga barang.
Ahli Parlimen Ketereh turut menggesa pihak yang mengusulkan cadangan pemotongan gaji dan elaun berkenaan untuk ‘berhenti bermain politik’ dan memberi fokus pada kaedah yang benar-benar mampu menyelesaikan isu inflasi secara tuntas.
Terdahulu, seramai 16 peserta dari parti MUDA hadir memberi keterangan berhubung himpunan #Turun yang berlangsung di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Sementara itu, wakil gabungan mahasiswa, Rafiq Shahmi mengecam tindakan intimidasi pihak universiti yang tidak membenarkan para mahasiswa menduduki peperiksaan ekoran terlibat dalam demonstrasi baru-baru ini.
“Salah satu peserta perhimpunan merupakan pelajar UITM yang telah dimaklumkan dia mungkin tidak dapat mengambil peperiksaan akhir. Sekarang ini sedang berlangsung peperiksaan akhir dan pihak universiti telah memanggil peserta itu berhubung perkara ini.
“KamiĀ mengecam tindakan ini kerana kebebasan dan intimidasi daripada pihak UiTM tidak sepatutnya berlaku pada para pelajar untuk menyuarakan pendapat mahupun suara mereka,” katanya. – MalaysiaGazette.
Beri kad diskaun keperluan dapur kepada B20 dan M40 sebab orang kaya takkan perasan inflasi.