KUALA LUMPUR – Kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengeluarkan hydrotreated vegetable oil (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama tersebut melibatkan pelaburan langsung daripada China sebanyak RM6 bilion.
Syarikat dari China melibatkan Shanxi Construction Investment Group Co. Ltd. (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS).
Manakala syarikat Malaysia pula Pengerang Maritime Industries Sdn. Bhd. (Benalec) dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).
“Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan. Pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini merupakan salah satu inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; dan dua Timbalan Menteri KPPK, Datuk Willie Mongin serta Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan amat menggalakkan usaha menjadikan hampas isirung sawit sebagai bahan mentah makanan domestik akuakultur dan penternakan.
Ini bagi mengurangkan pergantungan import dan menyumbang kepada inisiatif sekuriti makanan negara.
Katanya, pendekatan untuk menggunakan bahan mentah daripada sisa buangan atau lebihan di sepanjang rantaian nilai sektor agrikomoditi juga diberi tumpuan bagi memacu pembangunan ekonomi kitaran
“Ini termasuk menjadikan sumber biojisim agrikomoditi sebagai antara komponen penting dalam ekonomi kitaran yang berupaya menghasilkan produk nilai tambah, sekali gus membolehkan Malaysia bakal muncul sebagai hab biojisim.
“Keupayaan sasaran ini juga sesuai dengan status negara sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penyumbang terbesar dalam industri biojisim,” katanya.
Kerajaan menyasar MiACES 2022 mampu menjana lebih RM300 bilion nilai eksport, sekali gus menjadi platfom terbaik untuk penggiat industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.
Ekspo tersebut dihadiri oleh pengeluar hasil, inovator, pelaburan serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik dari 39 buah negara.-MalaysiaGazette