Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya meluluskan pindaan terhadap Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan tersebut diluluskan menerusi undi belah bahagi yang dianjurkan oleh pembangkang sebelum itu.

“Sejumlah 111 Ahli Parlimen setuju dan 88 Ahli Parlimen menolak, sementara 21 Ahli Parlimen tidak hadir,” kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Pindaan Subseksyen 4(5) itu dibuat bagi terus berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai depan.

Subseksyen itu antaranya menyebut: Seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari, bagi maksud penyiasatan.

Ia juga bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Selain itu, Subseksyen 4(3) akta sama menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politiknya.

Untuk rekod, ini kali kedua usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, selepas Hamzah membentangkan buat kali pertama pada 23 Mac lalu, namun ia gagal diluluskan selepas tidak mendapat jumlah undian mencukupi ketika itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast