Kalsom Nordin

MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menamatkan bantuan kepada 1,541 penerima dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, penamatan itu dilakukan hasil kajian semasa yang mendapati mereka sudah terkeluar daripada syarat layak bantuan.

Menurutnya, semakan mendapati, sebahagian besar penerima yang ditamatkan itu sudah meninggal dunia iaitu seramai 794 orang atau 51.5 peratus.

“Selain itu, seramai 193 orang penerima lagi telah menukar skim bantuan, mampu berdikari (151 penerima), lain-lain (145), tidak layak (134), berpindah keluar daerah (123) dan seorang penerima lagi dirujuk ke agensi lain.

“Penamatan ini bukanlah dilakukan begitu sahaja tapi setelah melalui proses kaji semula berdasarkan keadaan semasa oleh pegawai JKM yang mendapati wujud kriteria-kriteria tertentu yang harus ditamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri hari ini.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata, proses kaji semula sebelum proses penamatan bantuan adalah merupakan satu prosedur yang perlu dilaksanakan bagi semua jenis bantuan mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.

“Kaji semula ini adalah untuk melihat keadaan semasa penerima dan keluarga yang melibatkan beberapa aspek seperti keadaan ekonomi, persekolahan, kesihatan, tempat tinggal, kemahiran atau latihan dan lain-lain maklumat yang bersesuaian.

“Pihak JKM tidak pernah menggunakan proses kaji semula ini sebagai salah satu cara untuk membuat pemutihan ataupun penamatan bantuan,” katanya.

Sebaliknya menurut beliau, JKM sentiasa membuat penilaian samada seseorang penerima itu masih layak atau tidak untuk bantuan mereka diteruskan berdasarkan peraturan kelayakan-kelayakan semasa yang telah ditetapkan dalam garis panduan permohonan bantuan. – MalaysiaGazette.