Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al-Rashid Haron

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Selangor memandang serius laporan hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 yang mendapati 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara.

Ketuanya, Danial Al-Rashid Haron berkata, jika keadaan ini berlarutan, ia akan menyebabkan berlakunya gejala keciciran pendidikan berterusan dalam kalangan anak muda.

“Malah ia juga akan menjejaskan penghasilan kualiti tenaga kerja yang memberi kesan kepada produktiviti negara apabila peluang kerja khususnya bidang berkemahiran tinggi tidak mampu diisi oleh anak muda tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan sebanyak 72.1 peratus rakyat memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah purata pelajar di Malaysia hanya menghabiskan persekolahan pada tingkatan empat atau usia 16 tahun.

Sebelum ini, sidang Parlimen juga pernah dimaklumkan mengenai laporan seramai 21,316 murid telah berhenti sekolah sejak Mac 2020.

Terbaru, negara juga dikejutkan dengan laporan seramai 24,941 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Pemuda Amanah Selangor juga menggesa kerajaan memberi perhatian kepada tarikan dalam sektor ekonomi gig yang menjadi kegilaan anak muda ketika ini sehingga tidak lagi berminat meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kementerian Pendidikan digesa membuat kajian menyeluruh bagi mengenal pasti faktor sebenar permasalahan ini.

“Kerajaan perlu tampil dengan penyelesaian konkrit memandangkan majoriti terlibat golongan anak muda yang merupakan aset dan sumber tenaga kerja masa depan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette