Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu negara tidak memerlukan Perjanjian Malaysia baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, cadangan itu tidak perlu buat masa ini kerana tanpa MA63, negara ini tidak akan terbentuk.

“MA63 adalah asas pembentukan Persekutuan Malaysia. Tanpa MA63, tiada Malaysia. MA63 sama dengan batu sumpah,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Ongkili berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Azis Jamman (Warisan- Sepanggar) yang ingin tahu pandangan kerajaan mengenai cadangan oleh beberapa ahli politik termasuklah Ahli Parlimen Keningau berkenaan keperluan perjanjian baru bagi menggantikan MA63.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata, MA63 termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang perubahan, ia akan terpesong daripada pembentukan Malaysia.

“Apabila Perjanjian Malaysia diabaikan maknanya membelakangkan Persekutuan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette