KUALA LUMPUR – Mana-mana ahli Parlimen yang tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 iaitu Akta Anti Lompat Parti boleh dianggap dalang kepada golongan ‘katak’ atau mereka yang melompat parti.
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, RUU yang mula dibahaskan hari ini dan esok di Dewan Rakyat perlu disokong dan diluluskan sepenuhnya dengan majoriti dua pertiga.
“Kelulusan ini akan akhirnya memberikan keyakinan kepada rakyat dan menghakis kecelaruan yang timbul selama ini. Proses ini tidak boleh ditangguh lagi dan sekiranya ada juga wakil rakyat yang tidak menyokong, maka kita tahu lah siapa dalang katak yang sebenarnya, yang melindungi acara lompat katak selama ini,” katanya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, pergolakan politik dan ketidakstabilan negara yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menuntut kerajaan untuk bertindak.
Ini bagi memastikan kestabilan negara tidak dipengaruhi dengan tindakan segelintir wakil rakyat yang gemar melompat parti.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO sehingga hari ini tetap konsisten menyokong kepada sebarang resolusi yang boleh menambahbaik Akta Lompat Parti.
Malah Perhimpunan Agung UMNO pada 19 Mac 2022 telah dengan sebulat suara meluluskan usul ‘Menggesa melaksanakan transformasi institusi politik termasuk cadangan yang diperjuangkan agar Akta Anti Lompat Parti dan Pendanaan Politik dibentangkan di Dewan Rakyat’.
Tambah Asyraf Wajdi, pada 24 Jun lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga menggesa supaya Kerajaan segera membentang Akta Anti Lompat Parti sebelum Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15) diadakan.
“Ini juga adalah sebahagian daripada syarat utama perjanjian MoU – keyakinan dan pembekalan antara parti Kerajaan dan pembangkang, yang mana RUU Lompat Parti perlu dibentang di dalam Parlimen di dalam tempoh perjanjian.
“Pindaan akta ini amat penting, kerana langkah ini mampu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap ahli politik dan sistem demokrasi negara.
“Keyakinan rakyat semakin terhakis dan kestabilan negara terus merudum akibat tindakan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
Malah menurut Asyraf Wajdi, tinjauan yang dilakukan pusat penyelidikan swasta Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) juga membentangkan sebanyak 50 peratus individu percaya bahawa krisis politik semasa dapat dielakkan dengan pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti.- MalaysiaGazette